Kapan Bertemu Tetamu Misteri?

by - September 11, 2009


Salam Ramadhan Kareem...

Bertemu sekali lagi dalam 10 terakhir ramadhan mulia ini,

Tergerak hati

Ketika saya menyelak halaman blogger lain, kebanyakannya sibuk dengan isu terhangat, kepala lembu, hati agak terpanggil untuk membuat penulisan, tapi minda mula berpusing ligat cuba menyuarakan, apa alasan untuk diulas isu itu, ada baiknya sibukkan diri dengan menunggu tetamu misteri bulan mulia ini, itu 10 ganda lebih baik dari bersisa penulisan dengan isu yang tak berkesudahan. Namun, sempat juga juga menyelitkan komen-komen pada entry yang diselami. Semuga isu ini segera selesai.

Detik-detik pengharapan yang semakin hampir, sehingga hati tertanya-tanya adakah keluarga Lailatul qadr sudi menyinggahi kamarku pada saat mereka bertamu? Semua yang kenal keluarga ini pasti tidak sabar untuk mengundang tetamu istimewa ini untuk masuk ke rumahnya, agar bersinar segala isi rumah dengan cahaya si tetamu. Namun, tetamu itu hanya bertandang ke rumah yang dipilih Allah sahaja, Allah Hu Akbar, abis tu kita macam mana? Renungkan kembali, adakah kita layak dipilih Allah untuk mengundang tetamu seistimewa itu? Adakah cukup sekadar amalan yang kita usahakan ini? Jawapannya ada pada diri kita masing-masing.

Subhanallah, segala puji itu hanya bagi Allah, ingatlah kita di seluruh dunia sedang memasuki fasa keempat pelaksanaan ibadat puasa serta amal-amal ibadat sunat yang lain, ini bermakna sedar atau tidak, Ramadhan tetap akan meninggalkan kita buat tempoh setahun. Pilunya berpisah dengan kamu, wahai tetamuku. Wahai Ramadhan, bulan yang banyak memberi aku dan kamu peluang untuk mendapatkan rahmat Allah, keampunan-Nya dari segala kesalahan yang telah dilakukan sebelum ini, memohon kepada-Nya agar diri, keluarga serta anak-anak bebas daripada siksaan api neraka. Astagfirullah...

kesesuaian jadual dengan tetamu

Dan masa yang sangat sesuai untuk kita lakukan kesemua itu tentulah waktu yang kena diusahakan juga iaitu di sepertiga akhir malam (nak dapatkan sesuatu yang berharga, perlulah korbankan waktu nikmat), ketika ramai manusia sedang terbungkang tidur dan mungkin juga sebahagian mereka sedang enak menonton rancangan kesukaan mereka (Bola), kerana pada waktu itu suasana hening menyelubungi jiwa, justeru waktu itu juga amat berkesan untuk menyatakan rasa hati, merayu, menagih, meratap memohon keampunan mahupun hajat kepada Maha Pencipta. Apatah lagi pada malam akhir-akhir di bulan Ramadhan, terdapat satu malam yang disebut oleh Allah SWT dengan jelas sebutan namanya yang mulia dalam satu surah yang pendek, malam yang diturunkan padanya kitab suci al-Quran sebagai petunjuk kepada manusia menuju jalan kebenaran dan keselamatan di dunia dan akhirat, iaitulah dia malam yang sangat dikenali dengan Lailatul Qadr atau diterjemahkan sebagai malam takdir.

Fardhilat Tetamu kita tu...

Dalam al-Quran, Allah SWT telah berfirman yang bermaksud:

"Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!"

(Al-Qadr 97: 1-5)

Jelas, berdasarkan ayat di atas dapat dilihat bahawa malam al-Qadr disebut juga dengan malam yang penuh keberkatan. Sebab pada malam itu Allah mencucuri pelbagai rahmat, keampunan dan keberkatan kepada orang yang beramal dengan khusyuk dan berdoa dengan penuh keikhlasan.

"Kepada mereka Allah memberikan ganjaran kebaikan yang sama nilainya dengan beramal seribu bulan. Firman Allah bermaksud: "Malam al-Qadr itu itu lebih baik daripada seribu bulan"

(Surah al-Qadr, ayat 3) .

Muhaddis terkenal pernah berkata, Sheikh Nasyirudin Al-Albani (di dalam buku Risalah Qiyam Ramadhan) :

"Sebaik-baik malam ialah Malam Al-Qadr, kerana baginda s.a.w bersabda :'Barangsiapa yang berqiyam pada Malam Al-Qadr (berjaya mendapatkannya) dengan keimanan dan pengharapan, telah diampunkan dosa-dosa yang telah lalu' "

[Hadith riwayat kedua Sheikh dari hadith Abu Hurairah, Ahmad 5/318].

Sementara itu Sheikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi menceritakan mengenai syarat beramal pada malam Al-Qadr, katanya :

"Membawa kepada apa yang harus dilakukan oleh seorang Islam pada malam tersebut ialah: bersolat Isya' berjemaah, Solat subuh berjemaah dan pada malamnya mendirikan qiyamullail"

MasyaAllah, Subhanallah.. begitu besarnya fardhilat yang Allah kurniakan kepada hambaNya yang berusaha memikat keluarga LailatulQadr supaya menyinggahi kamarnya pada saat itu, beruntunglah dia. Hakikatnya hari ini, manusia hanya mampu dan berani berkata malah ada yang petah berhujah, namun terjemahan hatinya, belum pasti terjawab. Biarlah kita tidak dikenali penduduk bumi, mungkin kita sangat dikenali dikalangan penduduk langit, Allah hu Akbar. Demikianlah, dalam Islam tidak sah perbuatan dilakukan secara ikut-ikut. Setiap perbuatan hendaklah didasari ilmu. Ilmulah yang menjadi penyuluh; pun begitu, ilmu tanpa amal adalah sia-sia; ibarat pokok rendang tanpa buah.

'Dah tau kelebihan tetamu, bila nak jemputnya?'

Lontaran lemah dari insan hina. MasyaAllah Tabarakallah, Astagfirullah hal'azim!

wallahu'alam

wslm

You May Also Like

2 comments

  1. Moge tetamu merupakan antara tetamu lailatulqadar tahun ini kerana tahun depan belum kepastian untuk bertemu dengan rumah Ramadhan apatah lagi menjadi tetamunya..

    Terus memburu,
    Cikgu Tg

    ReplyDelete
  2. InsyaAllah Cg Tg, smuga kita adalah tuan rumah yang terpilih, biarpun belum pasti.

    Allahu rabbi.

    ReplyDelete

Selamat Berkomen. Silakan komen yang membina ya!