Harakahdaily |
KUALA LUMPUR, 29 Jun: Keputusan kerajaan untuk tidak mengeluarkan lesen pertaruhan sukan atas pertimbangan agama dan kesan politik harus dipersoalkan keikhlasannya. Ini kerana Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) berpendapat bahawa hal-hal berkaitan judi telah ada nas yang jelas dan pasti berdasarkan ayat al-Quran di dalam surah Al-Maaidah ayat 90. Oleh itu, kata timbalan ketuanya, Azman Shapawi Abdul Rani (gambar), ia tidak perlu dibincangkan atau ditimbang-timbangkan. “Kenapa hanya judi sahaja yang dipertimbangkan sedangkan ISA, hudud, rasuah, arak, aurat, pusat maksiat yang semakin membiak di negara ini tidak dibincangkan dalam konteks agama,” ujarnya dalam satu kenyataan. DPPP juga, katanya mempersoalkan sejak bila kerajaan Umno BN mempertimbangkan sesuatu perkara mengambil kira pendapat rakyat. Sedangkan, tambahnya sebelum ini mengapa kerajaan tidak pernah mendengar akan rintihan rakyat seperti kenaikan harga barang, kenaikan harga minyak, tol dan sebagainya. “Jelas di sini kerajaan semakin takut akan kebangkitan rakyat yang begitu memarahi kerajaan Umno BN yang suka bertindak mengikut penilaian politik tanpa memikirkan akibatnya kepada rakyat marhaen,” ujarnya lagi. Justeru, tegasnya DPPP mencabar agar kerajaan juga menyatakan pendirian mereka berkaitan hal-hal yang lain yang lebih memerlukan pendapat rakyat. “Jangan hanya berpura-pura untuk mengambil hati rakyat demi ‘survival’ politik sahaja,” katanya. Beliau juga mengingatkan Najib agar lebih bertanggungjawab dalam menentukan atau membuat sesuatu keputusan tanpa membelakangkan kabinet kerajaan Malaysia kerana yang memerintah negara bukannya Umno. Ini, katanya kerana keputusan yang diumumkan oleh Najib berhubung kerajaan tidak mengeluarkan lesen judi sukan kepada Ascot Sports Sdn Bhd hanya dibuat selepas mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno. Katanya, Umno bukannya sebuah kerajaan tetapi hanya satu parti politik yang bergabung dengan parti-parti lain di dalam BN membentuk kerajaan. “Sejak bila mesyuarat MT menentukan polisi negara? Besarkah kuasa MT Umno? Ke mana perginya kabinet kerajaan Malaysia?” soalnya. |
ANKARA - Turki menutup ruang udaranya daripada digunakan sejumlah pesawat tentera Israel, laporan agensi berita Anatolia semalam.
Tindakan itu dibuat ekoran sebuah kapal bantuan kemanusiaan milik Turki ke Gaza diserang oleh anggota-anggota komando Israel mengakibatkan sembilan orang warga Turki terbunuh pada 31 Mei lalu. Namun larangan itu tidak melibatkan pesawat komersial.
Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan membuat pengumuman tersebut semasa menghadiri persidangan Kumpulan 20 (G20) di Toronto, Kanada. Pada Ahad lalu, akhbar Israel, Yediot Ahronot melaporkan bahawa Turki tidak membenarkan sebuah pesawat yang membawa 100 anggota tentera Israel menuju ke Auschwitz, Poland melalui ruang udaranya.
Pesawat itu dipaksa membuat lencongan dan tentera Israel enggan memberi maklum balas secara rasmi kerana tidak mahu memburukkan hubungan dua hala yang kini tegang.
Tiada komen diperoleh daripada pejabat Perdana Menteri Israel berhubung kenyataan Erdogan itu.
Turki yang sebelum ini mempunyai hubungan rapat dengan Israel turut memanggil pulang dutanya di Israel selain membatalkan latihan ketenteraan dengan negara berkenaan.
Ia turut menegaskan akan menghantar dutanya dan meningkatkan hubungan ketenteraan dan perdagangan jika Israel memohon maaf berhubung isu berkenaan.
June 28, 2010
No comments
BICARA PADA HATI
Kasih berkurang, mungkinkah?
Semakin terasa destinasi tersasar,
Menjarak menjauh hilang,
Hingga teralih arah ini ke haluan lain,
Langkah terhayun makin kaku,
Bimbang kesakitan diri tercalar jua batin
Debu-debu ringan berterbangan kosong.
Rindu berkurang, mungkinkah?
Kibaran panji terluluh,
Sentakan jiwa merundum sepi,
Kemerduan irama jarang bergema,
Hati berongga akal berantakan,
Jangan kau berpaling tadah!
Telah aku bermohon agar ditetapkan kau,
Tetap dengan dinul Islam.
Cinta berkurang, mungkinkah?
Lenyapkan semangat dulu,
Ayuh kobarkan kembali,
Mengapa masih kaku batu?
Hebat percaturanNya,
Hingga teruji kau kini,
Masih adakah Nur itu?
Masih menyalakah hidayah itu?
Hanya aku dan kau yang menentukan,
Haluan pelayaran kita ini.
Lembayung rahmat tetap ada,
Tidak mungkin kan terlerai,
Selagi adanya ikatan kita,
Selagi ingatan kita padaNya,
Tasbih ini untukNya,
Setiap pagi dan petang,
Ragut kembali kasih rindu dan cintaNya,
Pasti jalanan kita tidak tersasar lagi.
June 20, 2010
No comments