seronok puasa

by - August 16, 2010

Salam Ramadhan el-Mubarak

Puasa adalah salah satu ibadah yang ketiga dalam rukun Islam. Menjalaninya adalah satu kehebatan dan lambang keutuhan ummah. Islam menyuntik sifat sabar dalam kehidupan melalui amalan berpuasa. Setiap yang hidup bergelar Insan Muslim maka wajib ke atasnya puasa sebagai perisai dirinya. Jika nafsu tidak dibentengi dengan perisai setajam ini bayangkanlah perisai mana lagi yang mampu digunakan buat menewaskan nafsu jahannam dalam jiwa kita?

Sejauh mana kita cuba menghayati amalan puasa yang kita lakukan hari ini? Berapa ramai muslim hari ini hanya berpuasa tanpa mendirikan solat, maka bagaimana kita hendak klasifikasikan nilai puasa mereka ini? Hanya Tuhan sahaja mampu memberi penilaian yang seadilnya. Ingatlah ketika Nabi s.a.w menyatakan bahawa rukun Islam yang pertama adalah mengucap dua kalimah syahadah dan keduanya solat. Bukan sengaja dinyatakan sedemikian melainkan ada makna yang tersendiri. Hal ini bermaksud adalah lebih utama mengucap dan solat dan ketiganya barulah berpuasa. Solat itu ibarat tiang rumah, bagaimana mahu mendirikan rumah jika tiangnya belum tertegak? Fikirkanlah.

Dari aspek yang lain pula, ada insan yang bersolat dan berpuasa tetapi tidak sempurna penutupan auratnya. Pada zahirnya mungkin kelihatan mereka menutup semua kulitnya. Tapi semua itu hanya sempurna bagi mata orang yang jahil agama. Islam sangat menuntut umatnya untuk menutup aurat bahkan wajib dan berdosa sekiranya aurat tidak ditutup dengan sempurna. Bagaimana pula dikiranya puasa mereka ini? Nauzubillahi minzalik!

Dalam konteks memahami erti sebenar puasa kita mesti benar-benar menghayati puasa tersebut. Berpuasa hanya kerana Allah, bukan untuk menguruskan badan atau kerana yang selainnya dan sebagainya. Bukan juga berpuasa hanya menahan lapar dan dahaga tetapi juga menahan dari pukulan nafsu dengan menjaga semua pancaindera kurnian FOC dariNya.

Hari ini genap seminggu semua umat Islam seluruh dunia menjalani ibadah puasa. Memang masa semakin singkat sehingga kita tidak terasa rupanya kita hampir sampai ke pertengahan Ramadhan ini. Bersamalah kita mencuba mengaut seberapa banyak pahala yang dijanjikan Allah dibulan Mulia ini. Semuga bertemu dengan malam yang mana lebih baik dari 1000 bulan, LAILATUL QADAR.

You May Also Like

0 comments

Selamat Berkomen. Silakan komen yang membina ya!