Tuan Besar Tetamu Agung bertandang lagi… Siapakah yang bertuah?

by - August 16, 2010


 Assalamualaikum wbt.

Alhamdulillah… wa syukurillah. Sekali lagi kita dipertemukan oleh Allah dengan Tuan Besar bernama Ramadhan Kareem al Mubarak. Bukan semua insan terpilih untuk menjadi tuan rumah kepada tetamu Agung Ramadhan Mulia kali ini. Banyakkanlah bersyukur dan zikir kepadaNya. Alangkah ruginya kita jika Ramadhan kali ini masih sama ditakuk Ramadhan yang lepas. Ayuh gegarkan diri dengan perubahan terhebat tahun ini buat tetamu kita Tuan Besar Ramadhan.

Begitu banyak perkara yang dibincangkan dalam Tanyalah Ustaz episod yang lepas. Tidak dinafikan beribu berjuta input yang dapat kita ceduk daripadanya. Dari sebesar-besar perkara kepada sekecil-kecil benda dihuraikan oleh al fadhil ustaz-ustaz jemputan. Allahu Robbi. Namun mungkin ada juga perkara-perkara yang kita sering anggap remeh dan tidak selalu diperkatakan tetapi selalu terjadi. Antaranya adalah nilai SOF dalam solat. Rata-rata masjid sering kita dengar. ‘Sof tak cun langsung solat Magrib tadi’, Tadi masa sembahyang Isyak, makcik sebelah saya tu bila saya cuba merapatkan Sof, dia pula menjarakkannya’, ini adalah beberapa rungutan yang seringkali kita dengar dan malah mungkin kita sendiri juga pernah mengalaminya.

Walaupun sah solatnya namun pahala SOFnya tidak didapati. Sungguh merugikan… tidak boleh disalahkan makcik-makcik dan pakcik-pakcik yang dah berusia sahaja, malah mahasiswa/wi sendiri pun ada yang bersikap sedemikian. ‘Rimaslah rapat-rapat, panas…’, mereka pun menjarakkan diri dari SOF (barisan). Mungkin perkara ini kelihatannya remeh kerana ianya masih sah solat sekalipun SOF bagai ular kena palu. Tapi inisiatif terbaik perlulah difikirkan sejenaknya.

Usai Tarawih tadi, kelihatan ramai yang bengkang bengkok SOFnya. Apa dah jadi? Ada pula tu yang berlubang SOFnya sebesar batang pokok kelapa… besar tu…. Kita yang tahu ni kenalah berusaha untuk perbaiki keadaan ini. Para imam masjid juga boleh bertindak supaya menegaskan tentang kepentingan SOF dalam solat. Kita kerap bincangkan perkara-perkara yang besar-besar. Tentang kebersatuan ummah dan sebagainya. Bagaimana membina kebersatuan ummah jika SOF juga belum kukuh apa lagi stabil untuk dirempuh musuh? Jomlah kita ambil sedikit masa kita yang telah kita habiskan dengan menonton vcd tak berfaedah, main games yang lalai. Kita gantikannya dengan memikirkan tentang kekuatan dan bagaimana membina benteng dalam diri Ummah.

Belajar untuk bertindak daripada hanya menerima keadaan ini seadanya.

Kekuatan Umat Islam terletak kepada seberapa kukuhnya barisan yang kita punya. Seperti ayat-ayat dalam surah as-saff. Terutamanya ayat 4 yang berbunyi : ‘Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berperang di jalanNya dalam barisan yang teratur, mereka seakan-akan seperti bangunan yang tersusun kukuh’.

You May Also Like

0 comments

Selamat Berkomen. Silakan komen yang membina ya!