JATUH UNTUK BANGUN

by - October 03, 2010


Sebagai manusia yang mengaku bahawa tiada Tuhan selain Allah dan Nabi Muhammad saw itu pesuruh Allah, maka kita wajib beriman dengan sebenar-benarnya. Bagaimana mungkin kita menuturkan sesuatu keinginan tetapi tidak dilaksanakan keinginan itu? Bayangkanlah betapa ramai daripada kita yang mungkin hanya berani melahirkan kata tetapi tidak mampu untuk dikota. Masih boleh dipertimbangkanlah jika kita mempunyai keuzuran dan sebagainya. Pastinya kita tahu bahawa Allah tidak pernah membebankan kita dengan apa yang tidak mampu kita tanggung.

Adalah menjadi lumrah dunia jatuh bangun kembali. Malah ada yang jatuh, jatuh, jatuh dan penghujung hidupnya dia bangun terus berdiri. Ada juga yang sebaliknya. Bagaimana perngakhiran hidup kita, kita sendiri juga tidak pernah tahu. Adakah jika kita seorang yang beriman, selamanya akan beriman? Subhanallah, berimanlah dan istiqamahlah! Dan, adakah pula sekiranya kita seorang yang jahil agama, bermakna selamanya kita akan tenggelam dalam kejahilan? Nauzubillah, belajarlah untuk mencintai, InsyaAllah kita pasti dicintaiNya. Kejahilan kita itu pasti akan tenggelam dalam lautan ilmu yang kita dapat dan amal yang kita perbuat.

Tentunya Allah tidak akan pernah membiarkan kita mengatakan bahawa kita telah beriman sedangkan masih belum teruji iman itu. Dalam bentuk yang bagaimana ujian dan cubaan itu, hanya Allah yang berhak menentukannya. Jika diujiNya dengan kebaikan, kejayaan, pujian dan sebagainya, adakah kita akan bersyukur atau merasakan diri sudah hebat? Dan sekiranya diuji dengan kesakitan, kedhoifan, penghinaan, penfitnahan dan sebagainya, adakah pula kita akan bersabar atau hanya menyalahkan taqdir dari Allah semata-mata? Allahurabbi, pokoknya disini apakah kita benar-benar bersedia dengan setiap ujian dariNya?

Kadangkala Allah sengaja membuat kita jatuh ke dalam lubuk yang paling dalam. Allah biarkan kita berkubang dalam lubuk itu sepuas dan semahu kita. Allah benamkan kita semakin dalam dan semakin terkebawah. Sengaja Allah membiarkannya tanpa sebarang pertolongan. Apakah kita akan mengatakan bahawa Allah sudah membiarkan kita jatuh? Allah tidak mempedulikan kita hambaNya? Tidak sama sekali… Percayalah bahawa Allah sedang menguji kita. Sabar atau marah? Renungkanlah!

Adakalanya pula Allah menjadikan kita seorang yang hebat. Kiri kanan kita penuh dengan pujian, kekayaan, pangkat, perjuangan kita hebat dalam Islam bagi mata zahir manusia. Allah berikan segala kebaikan dan nikmat kesihatan untuk kita mempertahankan Islam. Allah berikan jua apa yang kita hajatkan. Apakah kita akan mengatakan bahawa akulah yang paling hebat, berjuang bermatian demi Islam. Aku seorang yang dikasihi Allah, ke mana sahabat-sahabatku? Adakah mereka telah tersungkur di medan dek kerana permasalahan yang sedikit? Akulah wira dan serikandi Islam yang mampu meneguhkan Islam abad ini. Aku hebat!

Nauzubillah, janganlah menjadi insan yang takabbur setelah dikurniakan Allah kehebatan. Tetapi bersyukurlah dengan nikmatNya itu. Sahabat-sahabat hilang bukan menyepi, tetapi mungkin perjuangannya lebih sunyi. Mungkin mereka sedang merasa keperitan saat kejatuhannya. Ketahuilah kita bahawa kita dan mereka kedua-duanya sedang diuji. Itulah rahsia Allah menguji hambaNya dengan ujian yang berbeza pada setiapnya. Sehingga ada pujangga mengatakan hidup umpama roda, adakala mungkin iman kita di atas dan adakalanya iman itu jatuh ke bawah.

Allah uji kamu Allah juga menguji saya. Allah jatuhkan kita mungkin ke tahap yang paling hina bagi pandangan mata zahir manusia, untuk Allah melihat dengan pandangan paling tinggi. Setiap kesabaran kita akan dibalas dengan darjat ketinggian. Maka bersabarlah dalam setiap cobaan kesusahan dan bersyukurlah atas ujian kesenangan.

‘Sesungguhnya orang yang mulia di antara kamu di sisi Allah ialah mereka yang benar-benar bertaqwa’

Bersedia difikiran, bahawa jatuh itu untuk bangun!

Wallahu’alam
Wasalam wbt.

You May Also Like

0 comments

Selamat Berkomen. Silakan komen yang membina ya!