Admin

Saturday, October 16, 2010

MENYINTAI DEMI DICINTAI


Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum wbt.

Sesiapa yang mendengar kalimah cinta pasti berbunga mekar hatinya. Siapa yang tidak ingin mencintai orang yang dicintainya? Tidak ada saya kira. Namun merujuk kepada kitab Apa Ertinya Saya Menganut Islam karangan Fathi Yakan yang sangat glamor ini, saya begitu tersentuh pada bahagian pertama bab dalam buku ini. Bab 1 : Saya mestilah muslim di sudut ‘Aqidah, iaitu elemen ke 15; Saya Wajib Menyintai Allah dengan sebenar-benar cinta. Cinta yang menjadikan hati saya sentiasa berasa rindu dan terikat denganNya. Subhanallah!

Mungkin jika kita menyintai manusia, kita akan mengharapkan cinta itu dibalas tetapi belum tentu terbalas. Namun, jika menyintai Allah, adakah hal yang sama berlaku? Tidak sama sekali, Allah pasti membalas cinta kita kepadaNya itu malah lebih besar cintaNya buat kita dan selamanya kita tidak pernah dikecewakan sampai saat bertemu denganNya. Allahu Akbar…..

Allah telah pun menjanjikan kepada kita iaitu,
‘Barang siapa yang ada padanya tiga syarat ini, ia dapat merasai kemanisan iman:

i.                    Jika ia menyintai Allah dan RasulNya mengatasi kasihnya kepada yang lain
ii.                 Jika ia menyintai seseorang, tidaklah ia cintai melainkan kerana Allah
iii.               Jika ia benci untuk kembali ke dalam kekufuran sebagaimana ia benci untuk memasuki api neraka.’

Sayidina Abu Bakar r.a. berkata:
‘Barangsiapa merasakan lazatnya cinta yang suci murni
kepada Allah, tentu perkara itu lebih menarik perhatiannya
berbanding mencari dan mencintai keduniaan.

Tertarik saya pada satu kisah dalam sebuah kitab yang pernah saya baca dan saya mendapatkan kitab itu semula, kitab Solat Malam Menggamit Kedamaian karangan Syeikh Amru Khalid dan Syeikh Sulaiman Bin Nasih Al-Ulwan, diterjemahkan oleh Syeikh Abu Muhammad Tolha Al-Khairi terbitan Al-Bayan.

Kisah bab 13 halaman 55-57: Ditaip semula.

HAKIKAT CINTA DAN RINDU BAGI ORANG SEDANG BERCINTA.

Pada satu ketika di bulan Ramadhan, pengalaman aneh saya kebetulan bersolat Tarawih bersebelahan seorang pemuda. Ketika imam mengucapkan takbiratul ihram “Allahu Akbar”, tiba-tiba saya mendengar suara rintihan dan tangisan dari pemuda itu.
Saya menjadi terkejut kerana imam itu belum lagi mengucapkan apa-apa. Setelah selesai solat, saya berkata kepada pemuda itu, ‘Wahai saudaraku, kamu jangan marah kepadaku. Khabarkan kepadaku apa yang menyebabkan kamu menangis dan meratap sedih, sedangkan imam sebelum itu, belum lagi mengucapkan satu huruf pun dari al-Qur’an?’

Kemudian dia menjawab yang mengejutkan saya daripada kelalaian selama ini, katanya, ‘Ketika lidahku berkata “Allahu Akbar”, hatiku diselubungi oleh ketakutan, jika apa yang diucapkan lidahku berbeza dengan apa yang ada dalam hatiku.’

Ya memang benar! Sebahagian di antara kita merasakan seolah-olah ucapan ‘Allahu Akbar’ itu sebagai ucapan untuk lidah sahaja tanpa dirasakan oleh hati dan untuk keseluruhan diri kita.

Oleh itu, wahai saudaraku! Marilah kita menyintai Allah sebagaimana cintanya pemuda itu kepada Allah. Pemuda itu menjadikan Allah sebagai tempat ia menumpahkan rasa rindu, cinta dan kasih sayang. Betapa cintanya ia kepada Allah sehingga disebut sahaja nama ‘Allah’, gementar rasa hatinya. Sepertimana kita, apabila disebut nama kekasih kita, lalu berdebar-debar jantung kita, kerana rindu…!

Firman Allah bermaksud;

‘Sesungguhnya orang yang beriman ialah mereka yang bila disebut nama Allah, gementerlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya, bertambahlah iman mereka (kerananya), dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakkal.’
(Surah al-Anfal 8:2)

Dalam ayat ini, Allah menggambarkan hati orang yang benar-benar beriman kepada Allah. Rasa gementar itu tidak akan terjadi kecuali hatinya diselubungi oleh cinta kepada Allah.

Wahai manusia yang hidup di dunia yang fana’ ini, jika anda ingin merasai kelazatan ketika menghadap Allah s.w.t. maka anda hendaklah mengamalkan melakukan solat malam. Kerana solat malam akan melembutkan hati dan akan menerangkan cahaya hati sehingga merasakan kebesaran Allah.

Orang dapat merasakan kebesaran Allah sahaja yang hatinya jadi gementar bila disebut nama Allah, tanda ia telah dapat merasai kemanisan beriman (cinta) kepada Allah.

Seperti mana hadis dari Anas r.a. bahawa Rasulullah saw bersabda:

‘Sesiapa yang memiliki tiga sifat ini, nescaya ia dapat merasai kemanisan iman. Mencintai Allah dan Rasul melebihi yang lain, Menyintai sesama manusia kerana Allah dan enggan kembali kepada jalan kejahatan (kekufuran) sebagaimana ia enggan dimasukkan ke dalam api neraka.’
                                                (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam sebuah hadis qudsi Nabi saw. bersabda bahawa Allah berfirman yang maksudnya:

‘Pandangan (kepada bukan mahram) sebagai panahan beracun dari iblis, barangsiapa yang mengelaknya kerana takut kepada Aku (Allah), maka Aku akan menggantikannya dengan iman yang dapat merasakan kemanisan dalam hatinya.’
                                      (Riwayat al-Baihaqi dan al-Hakim)

Demikianlah jalan-jalan untuk merasai kemanisan iman di dalam hati. Iaitu mengelakkan segala pancaindera daripada terlibat dengan maksiat. Jika terjebak juga, hendaklah segera membersihkan kotoran noda dosa itu dengan bertaubat dan beristighfar kepadaNya dengan penuh rasa takut. Lakukanlah solat Taubat Nasuha!
-Tamat-

Subhanallah, begitu hebat pemuda dalam kisah ini. Semuga mengambil pelajaran berharga dari kisah ini. InsyaAllah, istiqamah!

Semuga usaha kita mencintai Allah ini mendapat ganjaran besar disisi Allah, dan pastinya dicintaiNya, Allahu rabbi!

‘Belajar mencintaiNya demi dicintaiNya’

Wallahu’alam,
Wasalam wbt.

p/s: menaip menghilangkan stress, antara satu senaman ringan yang bagus! Cubalah!

No comments:

Post a Comment