Search This Blog

Thursday, September 1, 2011

Puasa... tapi....tak solat! apa HUKUMnya?

Assalamualaikum wbt.

Alhamdulillah Ramadhan telah beberapa hari berlalu... tetapi ada satu persoalan yang bermain diminda saya... apakah puasa kita diterima Allah atau sebalik? Allahu alam hanya Allah sahaja yang tahu... Tapi apakah pantas puasa kita diterima sedangkan masih ada lobang-lobang kewajiban yang masih belum tertunai? Nah, ini yang menjadi persoalan besar dibenak.

Ada satu ruangan yang saya temui yang menjawab persoalan ini. saya kira cukup untuk kita yang dhoif ini memahaminya. sama-samalah kita cuba perbaiki diri kita yang berlompang ini...

Soalan; ustaz, apakah diterima puasa orang yg sengaja meninggalkan solat? kerana saya melihat ramai orang yg berpusa tapi tidak mengerjakan solat.

Jawapan;

Orang yang meninggalkan solat jika ia meninggalkannya kerana mengingkari atau menolak kewajipan tersebut, ia murtad dari agama dengan sepakat (ijmak) para ulamak. Orang yang murtad tidak sah ibadahnya termasuk puasa.

Adapun jika ia meninggalkan solat kerana malas atau segan (yakni ia masih mengakui kewajipan solat, cuma ia malas melakukannya), para ulamak berbeza pandangan tentang hukumnya;
1. Imam Ahmad berpandangan; ia adalah kafir.
2. Jumhur ulamak berpandangan; ia fasiq, yakni tidaklah menjadi kafir, akan tetapi telah melakukan dosa amat besar.

Berpegang kepada pandangan Imam Ahmad tersebut, maka sebahagian ulamak hari ini (terutamannya dari Arab Saudi seperti Syeikh Bin Baz, Ibnu Usaimin dan sebagainya) berpendapat; orang yang tidak menunaikan solat fardhu, tidak sah puasanya, malah juga ibadah-ibadahnya yang lain (zakat, haji, sedekah dan amal-amal soleh selainnya) sehinggalah ia bertaubat kepada Allah dan kembali mengerjakan solat. Berkata Syeikh Ibnu Uthaimin; “Jika kamu berpuasa tanpa mengerakan solat, kami ingin menegaskan kepada kamu; sesungguhnya puasa kamu adalah batal/rosak, tidak sah, tidak memberi manfaat kepada kamu di sisi Allah dan tidak mendekatkan kamu kepadaNya…” (Fatawa Ulama’ Baladil-Haram, hlm. 198).

Adapun berdasarkan pandangan jumhur ulamak (yang tidak menghukum kafir orang yang meninggalkan solat itu); puasa orang itu sah jika ia memenuhi rukun-rukun puasa yang ditetapkan dan tidak melakukan sebarang perkara yang membatalkan puasa. Maksud sah ialah; dia tidak dituntut lagi mengqadha/mengganti puasanya. Namun perlu dipersoalkan; adakah puasanya itu akan diterima oleh Allah sedangkan ia telah mengabaikan ibadah yang cukup besar dalam Islam iaitu solat? Tidak semua ibadah yang sah diterima oleh Allah. Contohnya, seseorang yang mengerjakan solat dengan riyak; solatnya sah (dari sudut Fiqh) apabila cukup syarat-syarat dan rukun-rukunnya, namun solatnya ditolak oleh Allah kerana riyak tersebut. Kerana itu, ulamak-ulamak al-Azhar (seperti Syeikh ‘Atiyah Saqar (bekas ketua Lujnah Fatwa al-Azhar), Dr. Ahmad asy-Syirbasi (bekas pensyarah di Universti al-Azhar), Dr. Muhammad Bakr Ismail, Dr. Muhammad ‘Ali Jum’ah dan ramai lagi), walaupun pendapat mereka tidak sekeras ulamak-ulamak dari Arab Saudi tadi, tetapi mereka menegaskan; “Orang yang tidak mengerjakan solat sekalipun puasanya sah tetapi tidak diterima Allah (yakni tidak diberi pahala)”. Syeikh ‘Atiyah Saqar menulis dalam fatwanya; “Sesiapa berpuasa tanpa mengerjakan solat, puasanya adalah sah dan tidak wajib ia mengulanginya. Akan tetapi dari segi penerimaan (Allah) terhadapnya, maka hadis Nabi s.a.w. menunjukkan ia tidak diterima…”. Hadis yang dimaksudkan oleh Syeikh ‘Atiyah itu ialah sabda Nabi s.a.w. (bermaksud);

“Sesiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan melakukan pendustaan, maka bagi Allah tidak ada keperluan dalam ia meninggalkan makan dan minumnya (yakni Allah tidak berhajat kepada puasanya)” (Riwayat Imam Bukhari, Abu Daud, at-Tirmizi dan lain-lain dari Abu Hurairah r.a.).

Jika dengan kerana akhlak mazmumah (dusta dan sebagainya) telah pun menyebabkan puasa ditolak oleh Allah, lebih-lebih lagilah dengan meninggalkan solat fardhu yang dosanya amatlah besar, berkali-kali ganda lebih besar dari dosa kerana akhlak mazmumah itu.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. al-Fatawa; Min Ahsan al-Kalam, Syeikh Aiyah Saqar, 2/32.
2. Fatawa Ulama’ Baladil-Haram, hlm. 198.
3. Al-Fiqh al-Wadhih, Dr. Muhammad Bakr Ismail, 1/149.
4. Yas-alunaka Fi ad-Din Wa al-Hayah, Dr. Ahmad as-Syirbasi, jilid 4.

sumber 

Luruskan rambut, ok ke tak?

Salam syawal wa fil barakallah...

Satu tinta telah menarik tinta ini menari lagi... artikal yang dibaca oleh si mata, tertancap pada satu keluhan. Di mana Islam dalam diri kita? Mengapa Islam kita sentiasa berubah-ubah? Fleksibel yang macam mana yang kita cari? Artikal seorang ustaz dan seorang sahabat menggamit diri ini untuk meneruskan penulisan yang kian terhenti.

Alhamdulillah, masih dipedulikan Allah dengan ujian-ujiannya yang tidak pernah terhenti untuk kita.

Satu pecahan dari cabang-cabang hukum yang semakin diranapkan oleh manusia yang berselindung disebalik hijab yang menangkup dan lebai yang kelihatan sempurna. Apakah hukumnya meluruskan rambut baik bagi lelaki mahupun perempuan?

Baiklah, kembali kepada fitrah manusia yang sentiasa inginkan kecantikan... tidak dinafikan ramai yang inginkan sedemikian. Sama ada dengan tujuan yang baik mahupun semata-mata untuk kecantikan rupa.

ini beberapa persoalan dan jawapan yang saya kutip dari blog teman yang saya kira bagus.

Soalan 1:
Saya memakai tudung dan ingin meluruskan rambut dengan niat untuk suami. Saya rasa musykil, sekiranya saya meluruskan rambut (teknik rebonding), adakah chemical yang digunakan akan menyaluti rambut sehingga menyebabkan tidak sah mandi hadas, kerana air tidak sampai pada rambut?
Jawapan:
Tidak salah untuk kecantikan bagi suami, tetapi mesti memastikan bahawa bahan kimia itu tidak menghalang air, jika ia bertindak menghalang air dari rambut, maka tidak sah mandi hadas.
Cadangan:
Pastikan bahan-bahan yang digunakan halal dan suci serta tidak menghalang air dari terkena rambut bagi memastikan sah solat dan mandi hadas.

Soalan 2:
Saya nak taula. apa hukum teknik rebonding (meluruskan rambut)? saya bakal berkahwin dan bakal suami suka jika rambut saya lurus (sedangkan saya tidak). bolehkah saya melakukannya atas tujuan menggembirakan hati suami (kelak selepas berkahwin)? harap dapat diberikan penjelasan.

Jawapan:
Teknik rebonding bukanlah satu rawatan ia sekadar untuk mencantikkan rambut sahaja, sekiranya dibuat untuk suami adalah dibenarkan dan tidak dibenarkan untuk selain daripada itu.
 
Harus membuat rambut dengan menggunakan kaedah rebonding dan sebagainya dengan syarat tidak dengan tujuan bermegah-megah atau menunjuk-nunjuk kepada orang lain tentang kecantikannya. Pastikan bahan-bahan tersebut tidak mengandungi najis.

Soalan 3:

Bolehkan saya meluruskan rambut dengan tujuan untuk kelihatan cantik didepan suami dan anak-anak tetapi saya akan mengenakan tudung apabila keluar rumah?

Jawapan:

Islam tidak pernah melarang wanita berhias untuk suaminya. Paling penting, hiasan itu hendaklah sesuatu yang tidak menyanggahi syariat Islam. Contohnya, seorang wanita bertindik di hidung atau mata, mewarnakan rambut dengan sesuatu yang tidak diharuskan, memakai rambut palsu dan sebagainya. Ia tetap ditegah dan diharamkan dalam Islam.

Oleh itu, mengenai masalah meluruskan rambut, ulama berbeza pendapat sama ada dibolehkan atau sebaliknya. Yang terbaik, tinggalkan perkara yang tidak dapat disepakatkan oleh ulama. Apa yang dibimbangi, ia termasuk perkara merubah kejadian asal yang dilarang dalam Islam.

Terlalu banyak hadith-hadith sahih yang membahaskan tentang perbuatan wanita akhir zaman yang mengubah ciptaan asal seperti mewarna rambut dengan warna hitam, memakai rambut palsu, mencabut kening dan sebagainya. Semua ini tidak lain hanyalah semata-mata menyembunyikan apa yang zahir dan mempamerkan kecantikan.

Oleh itu, kekalkan kejelitaan rambut kamu yang dianugerahkan oleh ALLAH SWT tanpa meluruskannya. Perhiasan paling baik ialah ketaqwaan kepada ALLAH SWT dalam segala keadaan agar tidak terjerumus ke arah kemurkaan-NYA sama ada disedari ataupun tidak.


Mungkin dalam sedikit ilmu ini terselit beribu jawapan kepada pelbagai persoalan kita berkenaan ini.

wallahu'alam wasalam