Search This Blog

Saturday, October 15, 2011

Aku Ingin Mencintainya KarenaMu... TAPI... macam mana?




Remaja selalu bertanya apakah salah kami bercinta? Tidak, bercinta memang tidak salah justeru ia adalah fitrah semulajadi yang Allah kurniakan kepada setiap manusia. Ingin cinta dan dicintai adalah instinc. Jiwa manusia memerlukan cinta seperti jasadnya perlukan makanan. Oleh kerana cinta adalah fitrah, maka tentulah tidak salah untuk merasainya. Namun Allah tidak kurniakan rasa cinta secara polos begitu sahaja. Dia juga mencipta peraturan cinta demi menjaga kemurniaanya. Peraturan inilah yang kerap dilanggar oleh remaja. Rasa cinta tidak salah tetapi kesalahan selalu berlaku sewaktu menjalinkan hubungan cinta. Di sinilah berlakunya cinta terlarang yakni cinta yang menafikan peraturan Tuhan. Ketika itu fitrah telah menjadi fitnah. Bila kehendak semulajadi tidak disalurkan atau diisi mengikut peraturan maka akan
berlakulah kekalutan dan kemusnahan.
Mengapakah perlu ada peraturan cinta? 

Jawabnya, kerana Allah mencintai manusia. Allah inginkan keselamatan dan kesejahteraan buat manusia melaksanakan keinginan fitrah semulajadinya. Keinginan tanpa peraturan akan menyebabkan banyak kemusnahan. Begitulah hubungan cinta yang terlarang, akan membawa banyak implikasi negatif dalam kehidupan. Pengalaman sudahpun mengajar kita nahawa jangan sekali-kali bermain cinta, nanti terbakar diri. Sudah banyak tragediyang berlaku akibat hubungan cinta yang membelakangkan Tuhan. Cinta yang terlarang, adalah cinta yang sudah dicemari oleh kehendak nafsu dan kepentingan diri. Keindahan cinta yang sudah tercemar ini tidak tahan lama. Sudah dapat apa yang dihajati, sudah terlaksana apa yang dikejar, cinta akan terkulai dan bersepai.





Hubungan cinta jangan dicemari oleh sebarang tindakan menyalahi syariat. Lebih banyak perlanggaran hukum berlaku, lebih tinggilah risiko kemusnahan yang akan berlaku. Jangan kita tertipu dengan pesona cinta yang dihiasi berbagai janji dan sumpah setia. Jangan kita mabuk dengan rindu dan asyik yang membuai dan melenakan. Seteguk kita minum dari kendi cinta terlarang, racunnya akan meresap membunuh akal, jiwa dan perasaan. Pada ketika itulah cinta dikatakan buta. Maka butalah mata hati dan mata kepala hingga seseorang akan menjadi hamba kepada siapa yang dicintainya. Ketika itu hati tidak nampak yang lain kecuali apa yang dicintai. Lupalah diri pada Pencipta cinta kerana terlalu asyik dengan cinta yang dikurniakan-Nya. Ah, bagaimanakah perasaan kita agaknya, jika seseorang begitu lekadengan hadiah hingga terlupa bersalam dan berterima kasih dengan pemberinya?

Tuhan kerap terpinggir dalam hubungan cinta yang terlarang. Hukumnya dilanggar bukan dengan rasabersalah tetapi dengan rasa manis dan megah. Tangan kekasih dipegang walaupun jelas Allah mengharamkan sentuhan antara lelaki dan wanita yang bukan muhram. Tergamak berdua-duaan ditempat sunyi walaupun sudah diperingatkan Nabi bahawa dalam keadaan begitu syaitan adalah orang yang ketiga. Lebih dari itupun banyak berlaku. Semuanya seolah-olah halal hanya kerana cinta. Racun-racun berbisa yang memusnahkan cinta telah dianggap sebagai baja. Akhirnya pohon cinta terlarangpun berbuah. Buah yang pahit, masam dan memabukkan. Buah yang muncul dengan pelbagai jenama yang aneh dan menjijikkan bohsia, bohjan, buang bayi dan zina. Ketika itu indahkah cinta?


Peraturan cinta bagai tanda-tanda dan lampu isyarat di atas jalan-raya. Kereta diciptakan dengan kuasa untuk bergerak, tetapi pergerakkannya perlu diatur dan dikawal. Jika tidak, dengan kuasa itu akan berlakulah perlanggaran dan pertembungan. Begitulah cinta, ia adalah kuasa tetapi kuasa itu perlukan peraturan dan kawalan.

Apakah peraturan-peraturan dalam hubungan cinta? 

Hendaklah cinta kita itu didasarkan kepada cinta Allah.
Ertinya, cinta yang kita berikan kepadanya semata-mata kerana mengharapkan keredhaan Allah. Allah memberi kita fitrah itu lalu kita niatkan dengan fitrah itu boleh menghampirkan diri kepada-Nya. Cintailah sesiapapun tetapi pastikan cinta itu dapat memudahkan kita mencintai Allah. Sehubungan dengan itu, cinta antara lelaki dan perempuan mestilah diniatkan untuk Allah.Soalnya bagaimana? Iringilah dengan niat untuk berkahwin kerana berkahwin itu lebih memudahkan seorang lelaki atau perempuan menyempurnakan agamanya. Sabda Rasulullah SAW: Apabila seseorang itu berkahwin, sempurnalah separuh agamanya, tinggal lagi separuh untuk disempurnakannya.
Oleh itu usahlah bercinta sekadar untuk bersuka-suka. 
Lebih buruk lagi janganlah ada niat-niat yang jahat dalam bercinta samada didorong oleh hasutan nafsu atau bujukan syaitan. Jika tidak ada niat untuk berkahwin, cinta sudah pasti bukankerana Allah. Hakikatnya cinta itu adalah cinta terlarang yang akan membawa kemusnahan pada sebelah pihak atau kedua-duanya sekali. Cinta jenis ini seburuk namanya Cinta Monyet!

Selain itu hendaklah dipastikan semasa menjalinkan hubungan cinta tidak ada hukum Allah yang dilanggar. Antaranya, tidak ada pergaulan bebas, tidak ada pendedahan aurat, tidak ada pengabaian perkara-perkara asas seperti meninggalkan sembahyang, puasa dan lain-lain. Hubungan cinta juga jangan sampai terjerumus dalam perkara yang melalaikan dan merugikan. Remaja tidak seharusnya mengeluh dan berkata, cinta apa namanya ini jika tidak ada dating, perbualan talipon secara marathon, surat cinta, sentuhan tangan, kerlingan dan senyuman? Yakinlah tidak ada keindahan dengan melanggarperaturan Tuhan. Putus cinta, frust cinta yang begitu dominan dalam kehidupan remaja adalah disebabkan racun-racun cinta yang disangka baja ini. Justeru banyaklah cinta yang gagal disambung di alam perkahwinan dan lebih banyak yang putus tanpa sempat menempuh perkahwinan.


Allah Maha Mengetahui dan Maha menyayangi. Segala peraturan-Nya dibuat dengan rasa cinta terhadaphamba-hamba-Nya. Cinta suci mampu tumbuh tanpa semua itu. Dan cinta itu pasti akan membawa ke gerbang perkahwinan untuk bercinta lagi dengan seribu keindahannya. Bahkan jika ditakdirkan cinta itu akan terus bersambung ke alam akhirat. Suami yang soleh dan isteri yang solehah akan bercinta lagi di syurga tempat pertama yang melahirkan cinta! Ketika itulah fitrah akan menjadi anugerah.


syukran!


wslm


sumber asal : ARTIKEL DARI BADAN DAKWAH ISLAMIAH SEKOLAH SERI PUTERI,CYBERJAYA

Wednesday, October 5, 2011

aku anak terbuang


Aku anak terbuang,
Ditinggal ibu disisih ayah,
diberi wang kasih tiada,

Aku memang anak terpinggir,
hidup meraih simpati saudara,
tidak kenal erti kasih,
apa lagi jiwa bertuhan

mari kawan ajari aku,
satu naskah umpama buku,
aku jahil dalam ilmu,
pastikan kau suluh akan diriku,
biar aku tidak lesu,
dengan arus yang membuntu...

Aku anak terbuang,
siapa aku pada matamu,
duhai ayah, wahai bonda,
aku rindu saat manis denganmu,
aku sepi tanpa bimbinganmu...

aku anak tersisih,
dibuang mereka yang pentingkan diri,
sesekali aku merasakan,
mengapa aku mereka ketepikan?

Aku anak dibuang,
ditanggung oleh yang kasih padaku,
sayapku patah tiada pengganti,
kakiku rapuh menanti putus,
bantu aku wahai teman,
kenalkan aku dengan tuhanmu,

kasihankan aku anak terbuang...

Thursday, September 1, 2011

Puasa... tapi....tak solat! apa HUKUMnya?

Assalamualaikum wbt.

Alhamdulillah Ramadhan telah beberapa hari berlalu... tetapi ada satu persoalan yang bermain diminda saya... apakah puasa kita diterima Allah atau sebalik? Allahu alam hanya Allah sahaja yang tahu... Tapi apakah pantas puasa kita diterima sedangkan masih ada lobang-lobang kewajiban yang masih belum tertunai? Nah, ini yang menjadi persoalan besar dibenak.

Ada satu ruangan yang saya temui yang menjawab persoalan ini. saya kira cukup untuk kita yang dhoif ini memahaminya. sama-samalah kita cuba perbaiki diri kita yang berlompang ini...

Soalan; ustaz, apakah diterima puasa orang yg sengaja meninggalkan solat? kerana saya melihat ramai orang yg berpusa tapi tidak mengerjakan solat.

Jawapan;

Orang yang meninggalkan solat jika ia meninggalkannya kerana mengingkari atau menolak kewajipan tersebut, ia murtad dari agama dengan sepakat (ijmak) para ulamak. Orang yang murtad tidak sah ibadahnya termasuk puasa.

Adapun jika ia meninggalkan solat kerana malas atau segan (yakni ia masih mengakui kewajipan solat, cuma ia malas melakukannya), para ulamak berbeza pandangan tentang hukumnya;
1. Imam Ahmad berpandangan; ia adalah kafir.
2. Jumhur ulamak berpandangan; ia fasiq, yakni tidaklah menjadi kafir, akan tetapi telah melakukan dosa amat besar.

Berpegang kepada pandangan Imam Ahmad tersebut, maka sebahagian ulamak hari ini (terutamannya dari Arab Saudi seperti Syeikh Bin Baz, Ibnu Usaimin dan sebagainya) berpendapat; orang yang tidak menunaikan solat fardhu, tidak sah puasanya, malah juga ibadah-ibadahnya yang lain (zakat, haji, sedekah dan amal-amal soleh selainnya) sehinggalah ia bertaubat kepada Allah dan kembali mengerjakan solat. Berkata Syeikh Ibnu Uthaimin; “Jika kamu berpuasa tanpa mengerakan solat, kami ingin menegaskan kepada kamu; sesungguhnya puasa kamu adalah batal/rosak, tidak sah, tidak memberi manfaat kepada kamu di sisi Allah dan tidak mendekatkan kamu kepadaNya…” (Fatawa Ulama’ Baladil-Haram, hlm. 198).

Adapun berdasarkan pandangan jumhur ulamak (yang tidak menghukum kafir orang yang meninggalkan solat itu); puasa orang itu sah jika ia memenuhi rukun-rukun puasa yang ditetapkan dan tidak melakukan sebarang perkara yang membatalkan puasa. Maksud sah ialah; dia tidak dituntut lagi mengqadha/mengganti puasanya. Namun perlu dipersoalkan; adakah puasanya itu akan diterima oleh Allah sedangkan ia telah mengabaikan ibadah yang cukup besar dalam Islam iaitu solat? Tidak semua ibadah yang sah diterima oleh Allah. Contohnya, seseorang yang mengerjakan solat dengan riyak; solatnya sah (dari sudut Fiqh) apabila cukup syarat-syarat dan rukun-rukunnya, namun solatnya ditolak oleh Allah kerana riyak tersebut. Kerana itu, ulamak-ulamak al-Azhar (seperti Syeikh ‘Atiyah Saqar (bekas ketua Lujnah Fatwa al-Azhar), Dr. Ahmad asy-Syirbasi (bekas pensyarah di Universti al-Azhar), Dr. Muhammad Bakr Ismail, Dr. Muhammad ‘Ali Jum’ah dan ramai lagi), walaupun pendapat mereka tidak sekeras ulamak-ulamak dari Arab Saudi tadi, tetapi mereka menegaskan; “Orang yang tidak mengerjakan solat sekalipun puasanya sah tetapi tidak diterima Allah (yakni tidak diberi pahala)”. Syeikh ‘Atiyah Saqar menulis dalam fatwanya; “Sesiapa berpuasa tanpa mengerjakan solat, puasanya adalah sah dan tidak wajib ia mengulanginya. Akan tetapi dari segi penerimaan (Allah) terhadapnya, maka hadis Nabi s.a.w. menunjukkan ia tidak diterima…”. Hadis yang dimaksudkan oleh Syeikh ‘Atiyah itu ialah sabda Nabi s.a.w. (bermaksud);

“Sesiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan melakukan pendustaan, maka bagi Allah tidak ada keperluan dalam ia meninggalkan makan dan minumnya (yakni Allah tidak berhajat kepada puasanya)” (Riwayat Imam Bukhari, Abu Daud, at-Tirmizi dan lain-lain dari Abu Hurairah r.a.).

Jika dengan kerana akhlak mazmumah (dusta dan sebagainya) telah pun menyebabkan puasa ditolak oleh Allah, lebih-lebih lagilah dengan meninggalkan solat fardhu yang dosanya amatlah besar, berkali-kali ganda lebih besar dari dosa kerana akhlak mazmumah itu.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. al-Fatawa; Min Ahsan al-Kalam, Syeikh Aiyah Saqar, 2/32.
2. Fatawa Ulama’ Baladil-Haram, hlm. 198.
3. Al-Fiqh al-Wadhih, Dr. Muhammad Bakr Ismail, 1/149.
4. Yas-alunaka Fi ad-Din Wa al-Hayah, Dr. Ahmad as-Syirbasi, jilid 4.

sumber 

Luruskan rambut, ok ke tak?

Salam syawal wa fil barakallah...

Satu tinta telah menarik tinta ini menari lagi... artikal yang dibaca oleh si mata, tertancap pada satu keluhan. Di mana Islam dalam diri kita? Mengapa Islam kita sentiasa berubah-ubah? Fleksibel yang macam mana yang kita cari? Artikal seorang ustaz dan seorang sahabat menggamit diri ini untuk meneruskan penulisan yang kian terhenti.

Alhamdulillah, masih dipedulikan Allah dengan ujian-ujiannya yang tidak pernah terhenti untuk kita.

Satu pecahan dari cabang-cabang hukum yang semakin diranapkan oleh manusia yang berselindung disebalik hijab yang menangkup dan lebai yang kelihatan sempurna. Apakah hukumnya meluruskan rambut baik bagi lelaki mahupun perempuan?

Baiklah, kembali kepada fitrah manusia yang sentiasa inginkan kecantikan... tidak dinafikan ramai yang inginkan sedemikian. Sama ada dengan tujuan yang baik mahupun semata-mata untuk kecantikan rupa.

ini beberapa persoalan dan jawapan yang saya kutip dari blog teman yang saya kira bagus.

Soalan 1:
Saya memakai tudung dan ingin meluruskan rambut dengan niat untuk suami. Saya rasa musykil, sekiranya saya meluruskan rambut (teknik rebonding), adakah chemical yang digunakan akan menyaluti rambut sehingga menyebabkan tidak sah mandi hadas, kerana air tidak sampai pada rambut?
Jawapan:
Tidak salah untuk kecantikan bagi suami, tetapi mesti memastikan bahawa bahan kimia itu tidak menghalang air, jika ia bertindak menghalang air dari rambut, maka tidak sah mandi hadas.
Cadangan:
Pastikan bahan-bahan yang digunakan halal dan suci serta tidak menghalang air dari terkena rambut bagi memastikan sah solat dan mandi hadas.

Soalan 2:
Saya nak taula. apa hukum teknik rebonding (meluruskan rambut)? saya bakal berkahwin dan bakal suami suka jika rambut saya lurus (sedangkan saya tidak). bolehkah saya melakukannya atas tujuan menggembirakan hati suami (kelak selepas berkahwin)? harap dapat diberikan penjelasan.

Jawapan:
Teknik rebonding bukanlah satu rawatan ia sekadar untuk mencantikkan rambut sahaja, sekiranya dibuat untuk suami adalah dibenarkan dan tidak dibenarkan untuk selain daripada itu.
 
Harus membuat rambut dengan menggunakan kaedah rebonding dan sebagainya dengan syarat tidak dengan tujuan bermegah-megah atau menunjuk-nunjuk kepada orang lain tentang kecantikannya. Pastikan bahan-bahan tersebut tidak mengandungi najis.

Soalan 3:

Bolehkan saya meluruskan rambut dengan tujuan untuk kelihatan cantik didepan suami dan anak-anak tetapi saya akan mengenakan tudung apabila keluar rumah?

Jawapan:

Islam tidak pernah melarang wanita berhias untuk suaminya. Paling penting, hiasan itu hendaklah sesuatu yang tidak menyanggahi syariat Islam. Contohnya, seorang wanita bertindik di hidung atau mata, mewarnakan rambut dengan sesuatu yang tidak diharuskan, memakai rambut palsu dan sebagainya. Ia tetap ditegah dan diharamkan dalam Islam.

Oleh itu, mengenai masalah meluruskan rambut, ulama berbeza pendapat sama ada dibolehkan atau sebaliknya. Yang terbaik, tinggalkan perkara yang tidak dapat disepakatkan oleh ulama. Apa yang dibimbangi, ia termasuk perkara merubah kejadian asal yang dilarang dalam Islam.

Terlalu banyak hadith-hadith sahih yang membahaskan tentang perbuatan wanita akhir zaman yang mengubah ciptaan asal seperti mewarna rambut dengan warna hitam, memakai rambut palsu, mencabut kening dan sebagainya. Semua ini tidak lain hanyalah semata-mata menyembunyikan apa yang zahir dan mempamerkan kecantikan.

Oleh itu, kekalkan kejelitaan rambut kamu yang dianugerahkan oleh ALLAH SWT tanpa meluruskannya. Perhiasan paling baik ialah ketaqwaan kepada ALLAH SWT dalam segala keadaan agar tidak terjerumus ke arah kemurkaan-NYA sama ada disedari ataupun tidak.


Mungkin dalam sedikit ilmu ini terselit beribu jawapan kepada pelbagai persoalan kita berkenaan ini.

wallahu'alam wasalam




Wednesday, July 13, 2011

mencuba untuk kekal setia TAZKIRAH RINGKAS : BAGAIMANA MENENANGKAN HATI DAN JIWA..

Salam Bakal Ramadhan Kareem...

Dalam kesibukan kita mengejar dunia, politik dan kesenangan, jangan kita lupa bahawa kita masih perlukan satu hidangan untuk hati dan santapan jiwa... dalam kepadatan waktu menghampiri Ramadhan ini, dan dalam rasa keresahan hati, pastinya kita butuh waktu untuk sendirian dan menilai kembali diri kita hari ini dan untuk sebelumnya serta yang bakal datang... Ayuhlah muhasabah diri dan mohon keampunanNya sementara waktu masih bersisa.. InsyaAllah...

Di dalam ajaran Islam semua masalah, ada jalan penyelesaiannya atau jalan keluar untuk mengatasi masalah, faham atau tidak sahaja atau mahu atau tidak kerana Islam itu agama keselamatan dunia akhirat, penyelesai semua masalah. Al Quran ada menyatakan:

FIRMAN ALLAH:

“Dan kami menurunkan daripada Al Quran itu barang yang iaitu menjadi ubat dan rahmat kepada orang mukmin dan tidak menambah akan orang yang zalim itu melainkan orang yang zalim itu melainkan rugi”.

Allah SWT mengatakan Al Quran atau Islam itu adalah ubat untuk penyakit lahir dan batin, fizikal dan rohani, dunia dan akhirat dan juga menjadi rahmat kepada seluruh dunia dan akhirat. Juga menjadi rahmat kepada seluruh dunia dan akhirat bagi orang mukmin. Allah SWT menyebut orang mukmin kerana orang mukmin sahaja yang mahu tunduk dan patuh kepada Al Quran atau ajaran Islam. Kalau orang kafir atau orang Islam sahaja, tidak akan mahu menerima atau payah mahu menerimanya. Allah SWT ada menyebut dalam Al Quran bahawa orang mukmin sahaja mudah diingatkan dan mudah menerima ajaran Islam atau ajaran Allah.
FIRMAN ALLAH:

“Tidak ada ucapan orang mukmin itu apabila di ajak kepada Allah dan Rasulnya agar menghukum dikalangan mereka itu melainkan mereka berkata-kata kami dengar dan kami patuh.”

Ertinya berkira dengan orang mukmin mudah, berkira dengan orang Islam lebih-lebih lagi yang bukan Islam sangat susah. Apatah lagi hendak diajak merujuk kepada Allah SWT dan Rasulnya, lebih liat lagi. Justeru itu bagi orang mukmin untuk menenangkan jiwanya Allah SWT memberitahu di dalam satu ayat berbunyi:

“Ketahuilah bahawa dengan mengingati Allah itu, hati akan menjadi tenang.”

Di sini tahulah kita ubat hati tidak tenang ialah banyak mengingati Allah SWT. Apabila banyak meningati Allah SWT, jika tidak tenang atau terasa kosong. Al Quran ada menyebut dalam sepotong ayat berbunyi;
“Barangsiapa yang berpaling daripada mengingati Aku maka sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit.”
Maksudnya, orang menolak atau melupai Tuhan serta tidak faham apa yang Allah suruh dan larang serta tidak faham apa yang Allah lakukan pada dirinya maka jiwanya sentiasa sempit, tidak tenang, gelisah, resah, susah sekalipun ia kaya, berkuasa, ada nama, ada glamour.

والله اعلم

Syukran kerana artikel ini saya copy n paste dari saifulnizam.blogspot

Friday, July 8, 2011

Yea.. yea... Ramadhan datang!

 Assalamualaikum wbt...

Subhanallah, Ramadhan bakal kembali tak lama saja lagi. Banyak perkara perlu disiapkan. terutama hati dibersihkan dulu. Rindunya pada Ramadhan... Alhamdulillah, kali ni masih aku sempat merasai kemanisan Ramadhan, InsyaAllah!

Sempena menyambut ketibaan Ramadhan Al Mubarak ini, saya ada terbaca artikel tazkirah pendek dalam satu ruangan... ayuh kita ikuti siri 1 tazkirah dari shukur.com...

SIRI 1 : AWAL AL-MUBARAK

"Berpuasa pada bulan Ramadhan dan berpuasa sebanyak tiga hari pada setiap bulan akan menjauhkan fikiran jahat daripada hati dan membersihkannya."

Ramadhan menjenguk lagi. Dan sedari awal kedatangannya memang dinanti. Inilah masa yang paling sesuai untuk merebut ganjaran pahala yang berlipat kali ganda tanpa diganggu-gugat oleh syaitan dan iblis, hanya nafsu yang perlu dikawal. Setiap individu mempunyai cara yang tersendiri menyambut Ramadhan. Ada juga mukmin yang memulakan sambutan puasa dengan berpuasa sunat. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW
yang bermaksud:

"Janganlah kamu mendahului Ramadhan dengan berpuasa sehari atau dua hari sebelumnya, kecuali seseorang yang telah membiasakan diri berpuasa sunat, maka ia dibolehkan berpuasa." - HR Tujuh Ahli Hadith

Puasa Ramadhan tidak boleh dimulakan dengan berpuasa sunat atas alasan ingin menyambut ketibaan Ramadhan. Namun, jika seseorang individu itu telah biasa dan memang mengamalkan berpuasa sunat di dalam hidupnya, maka individu ini tidak
ditegah untuk berpuasa sunat walaupun puasa sunat yang dilakukannya adalah pada sehari atau dua hari sebelum kedatangan Ramadhan. Malahan, hal seperti ini dibolehkan di dalam Islam. Misalnya, jika seseorang itu telah biasa berpuasa sunat pada setiap hari Isnin dan Ramadhan pada tahun itu jatuh pada hari Selasa, maka individu itu dibolehkan meneruskan puasa sunatnya sebagaimana lazimnya.

Namun jika individu itu sengaja melakukan puasa sunat sedangkan itu bukanlah kebiasaan amalannya, maka puasa seperti ini adalah diharamkan kerana ia dikatakan sebagai mendahului ibadat puasa Ramadhan. Walaupun ada segolongan individu yang berpendapat puasa seperti ini sebagai satu penghormatan untuk menyambut ketibaan Ramadhan tetapi  Rasulullah SAW sendiri menidakkan dalil yang sebegini dan menegah sama sekali amalannya.

Terdapat segelintir golongan bukan Islam yang berpendapat ibadat puasa ini tidak lain daripada meletih dan menyeksakan lantaran pantang larang yang perlu dipatuhi, namun pendapat-pendapat sebegini mula terhakis berikutan penemuan dan kajian yang  dijalankan menunjukkan bahawa puasa adalah satu amalan yang baik bagi menjamin tahap kesihatan mental dan fizikal secara keseluruhannya.

Di samping menerangkan kepada mereka tentang konsep sebenar ibadat dalam Islam, kita sentiasa digalakkan untuk memperbaiki dan menambah amalan dari semada ke semasa terutamanya di dalam bulan Ramadhan ini. Ibadat utama dalam Ramadhan ialah untuk mengerjakan puasa.

"Barangsiapa tidak membulatkan niatnya berpuasa sebelum fajar (subuh), maka tidak ada puasa baginya." - HR Ahmad & Ashabus Sunan

Awal puasa ialah berniat untuk mengerjakan ibadat tersebut.

Niat puasa terbahagi kepada dua iaitu:

Berniat setiap malam sebelum datangnya waktu Subuh -  seseorang yang berkeinginan untuk berpuasa, wajib menyatakan niatnya; Berniat pada awal bulan Ramadhan sebelum datangnya waktu Subuh - seseorang yang ingin berpuasa pada bulan tersebut, wajib menyatakan niatnya untuk berpuasa selama satu bulan Ramadhan.

Kedua-dua pengertian ini boleh diterima pakai, namun bagi mendidik anak-anak kecil berlatih berpuasa, lebih wajar jika kaedah yang pertama ini diterapkan kepada mereka. Manakala kaedah yang kedua pula lebih mudah dan meringankan Seseorang yang akan mengerjakan ibadat puasa selama sebulan Ramadhan, memadai jika menyatakan niat puasanya sekali pada malam pertama Ramadhan. Jika niatnya dinyatakan setiap malam, maka hal ini dikategorikan sebagai sunat dan tidak mendatangkan sebarang kemudaratan. 

sampai bertemu lagi,,,

Selamat Berpuasa dan wassalam.


sumber : http://www.sabah.org.my/solat/artikel/puasa/SIRI_1_AWAL_AL-MUBARAK.htm

Friday, July 1, 2011

kesakitan satu ujian!

Assalamualaikum wbt… 

Hari ini ada dua kesedihan yang datang dari insan sekeliling yang aku kasihi. Kesedihan yang memberikan titisan mutiara buat pipi-pipi insan yang merasainya. Aku faham dan aku cuba mengerti kesedihan yang kalian alami… ini satu musibah dan ini juga satu ujian kepada jiwa-jiwa yang Allah yakin mampu tanganinya dan tetap bertahan menghadapinya. Untuk hati ini, hanya doa yang mampu aku kirimkan. Kesetiaan si telinga member perhatian kepada curhat kalian ini paling tidak dapat mengurangkan beban yang tertanggung. InsyaAllah, pasti ada jalannya.

Satu keyakinan juga bahawa setiap yang diuji itu pasti ada hikmahnya. Allah ingin kita lebih dekat dengannya supaya kita sentiasa bersyukur dengan apa yang telah dikurniakan. Allah mahu kita memohon hanya kepadaNya bukan kepada yang selainNya. Allah rindukan rayuan dan ingin tunaikan permintaan kita. InsyaAllah, semuanya akan kembali kepada keadaan asalnya.

Bayangkanlah, hati wanita mana yang tidak luluh melihat sebujur kaku jasad si anak. Sedang terlantar di hamparan putih berkaki empat dalam ruangan yang sangat mengharukan jiwa. Jika difikirkan apalah dosa si anak yang sekecil itu untuk merasai keperitan yang tak tertanggung itu. Namun itulah hakikat kehidupan, datangnya tidak berbau perginya tidak berbunyi. 

Tidak mungkin aku mampu untuk meringankan bebananmu, Tapi aku akan cuba memberikan yang terbaik. Doa dan takziah mungkin diperlukan dari insan-insan yang terdekat. 

Untuk anak saudaraku yang kini di P ICU penang, maklong sayangkan kamu. Ya Allah kuatkan semangat si kecil ini. Jauh lagi perjalanannya Ya Allah, bagaimana harus dia bertarung dengan buah pinggang dan peparunya yang tidak sekuat dulu… cekalkanlah hati kedua ibu bapanya.

Untuk sahabat yang sedekat detak jantungku, aku mendoakan semuga perjalanan kandunganmu selancar denyutan nadiku. InsyaAllah.

- Untuk semua, insyaAllah ada satu hikmah besar sebalik ujian ini, keyakinan ini bakal membina bait-bait iman untuk kalian -

Wslm

Destinasi yang satu...

Satu destinasi ,
Ingin kujejaki,
Dari dulu hingga kini,
Tak pernah berhenti mendoai.

Satu tujuan pasti,
Menagih kemarau di hati,
Dari si jiwa yang gersang ini,
Melarat ke jiwa yang bersih suci,
Namun kapan kan ku dapat melangkah pergi.

Satu perasaan kini,
Menjadi butir semangat sejati,
Menunggu dan terus menunggu lagi,
Moga setiap hari,
Adalah satu janji,
Tertunai pasti,
Kapan jua meski,
Pasti dapat ku jejaki.

Pancarannya menggamit lagi,
Menjemputku bertemu di ruangan ini,
Membuka gambaran mindaku abadi,
Melihat sebuah rangka bingkisan hati,
Menenangkan diri, pasti.

Semuga jemputan akan bertamu ke mari,
Satu saat nanti!

Monday, May 30, 2011

cinta ini belum pasti ke mati....

Kadang-kadang teringin rasanya menyelami semula jiwa remaja...
Zaman remaja dulu memang sudah berlalu dan tidak ingin kurasakan lagi...
hari ini anak-anakku pula merasa bahangnya jiwa remaja menyala, membara...
berkobar mendabik dada mengatakan aku cinta pada dia...

terkadang aku ingin benar memahami mereka ketika ini,
apa mereka sudah lupa pada pesan orang tua?
belajar dulu biar cepat pandai,
kendian hari jadilah imam warak bertaqwa memperisterikan gadis idaman hati.

makin aku ingin kejar rasa mereka,
makin aku tidak mengerti,
ataupun mungkin aku sudah tidak dapat mengerti lagi?
atau jua mungkin aku yang masih tidak mampu mengerti...

kasihan mereka ini,
masih setahun jagung,
masih belum menemukan kemuncak hati,
masih jua terkapai mencari erti cinta sejati.

kalau dapat aku katakan,
ingin aku canangkan satu ruangan,
kepada kalian anak-anakku aku tunjukkan,
mengapa aku menghalang kalian...

janganlah kalian salah mengerti,
tegasku ini sangat bererti,
meminta kalian menjadi begini,
kelak tak nyesal dikendian hari...

khas cikgu tujukan kepada anak-anak didikku yang mabuk cinta kepayang layang-layang melayang...

wslm!

Nak bercouple, couplelah, tapi...

Assalamualaikum semua pembaca blog... terima kasih kerna sudi meluangkan masa lagi bersama saya dalam ruangan teratak buruk saya ini... Kali ini, saya mencungkil lagi budaya yang tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat khususnya remaja hari ini iaitu budaya 'couple' yang tak pernah berkesudahan... mai sini cikgu nak ajar kalian macam mana yang dikatakan ber'couple' dalam islam... boleh ke tidak???

Untuk lebih jelas baca keratan artikel ini sehingga tamat...

Nikah Khitbah – Couple cara islam


Dalam adat Melayu perkahwinan dimulai dengan pertunangan sedangkan mengikut cara yang diamalkan dalam masyarakat dulu iaitu nikah gantung adalah lebih menepati maksud khitbah dalam Islam bukannya bertunang. Ada orang yang menyamakan khitbah dalam Islam sebagai pertunangan adalah tidak tepat. Akibat dari cara khitbah yang salah telah menjadikan pertunangan sebagai asas untuk menghalalkan “coupling” (dulu disebut berdua-duaan atau merendek) antara lelaki dan wanita.


Ada yang memberi alasan untuk ber’couple’ dulu atau bertunang dulu untuk kenal mengenali satu sama lain sedangkan hubungan perkahwinan bukan isu hukum “cuba-cuba” atau “trial and error”. Ia adalah satu amanah dalam Islam. Ramai di kalangan remaja pernah mengatakan, “Alah, takkan tak boleh couple ustaz, kita ni bukan hidup zaman dulu lagi. Lagipun bukan buat apa-apa, untuk suka-suka aje!”. Ada yang berkata, “Bertunang boleh kenal hati budi, kalau tak sesuai boleh putuskan tapi kalau dah kahwin susahlah, nak bercerai malu!”


Isunya: Siapa kata tak boleh coupling? Nak bercouple, couplelah, tapi kena dengan cara yang halal, iaitu bernikah!.


Apabila persoalan nikah ini diutarakan, ramai yang akan memberikan respon yang skeptik. “Saya belum bekerja!”, “Saya masih belajar!”, “Mana nak cari duit buat belanja kahwin?”, “Ni bukan main-main, nak bagi anak orang makan apa?”, “Mak Ayah tak bagi!”, “Nak tinggal kat mana? Sapa yang nak bayar sewa rumah” dan 1001 alasan lagi. Kenapa mereka boleh beralasan untuk melakukan perkara yang halal, tetapi tidak langsung mengemukakan alasan untuk melakukan perkara yang haram? Jawapan saya bagi segala persoalan tersebut, mudah sahaja, “Kamu wajib berkhitbah!”.


Khitbah


Secara literalnya, ia membawa maksud “bertunang”. Bertunang menurut adat dan pengamalan orang Melayu adalah perjanjian di antara dua orang insan untuk berkahwin melalui proses ritual tertentu. Definisi itu jugalah yang terdapat dalam pengamalan fiqh klasik dan juga di zaman Rasulullah s.a.w. Definisi ini jugalah yang diamalkan oleh orang-orang Melayu di Malaysia. Malangnya, disebabkan kejahilan masyarakat, hubungan pertunangan yang sekadar perjanjian semata-mata ini, akhirnya dianggap sebagai upacara untuk menghalalkan perhubungan di antara dua pihak yang bertunang. Lebih dahsyat lagi, ada di antara ibu bapa yang menyangkakan bahawa bertunang bermaksud “separuh berkahwin”. Ada pasangan yang bertunang, berpelesiran, berpegangan tangan dan juga bermadu asmara akan cuba menjustifikasikan tindakan tersebut dengan ikatan pertunangan serta mendapat restu ibu bapa kedua-dua belah pihak. Lebih menyedihkan ada yang bertunang kemudian ber’coupling’ berakhir dengan keterlanjuran, kemudian putus dengan pelbagai alasan.


Khitbah menurut pengamalan orang Arab moden, terutamanya di Jordan pula amat berbeza dengan pengamalan orang bertunang secara klasikal dan juga pengamalan orang Melayu. Ia merupakan “akad nikah” dalam erti kata yang sebenar. Akad khitbah di dalam masyarakat arab pada realitinya merupakan akad nikah. Seperkara yang membezakan di antara akad nikah dan khitbah ialah kedua-dua pasangan khitbah tidak tinggal bersama sehinggalah selesai majlis perkahwinan dijalankan. Pada dasarnya, mereka berdua adalah suami isteri dan halal untuk melakukan apa sahaja yang difikirkan untuk mereka melakukannya. Di dalam masyarakat kita, pernikahan tersebut diberikan nama “nikah gantung” (bunyinya amat mengerikan?).


Jika ditukarkan nama “nikah gantung” tersebut kepada “nikah khitbah” tentu konotasi terhadap kontrak tersebut tidaklah mengerikan. Bunyinya pun agak “islamik”. Jika ia dapat diamalkan oleh kebanyakan pemuda pemudi kita hatta yang janda, duda atau yang nak berpoligami serta yang dilanda asmara dan cinta serius berkemungkinan ia boleh menyelesaikan banyak perkara yang mereka hadapi.


Nikah adalah untuk menghalalkan perhubungan dan juga membina kematangan. Yang utamanya, kedua-dua pasangan sudah halal dan sudah boleh bersama dan melakukan apa sahaja. Bunyinya agak mudah, namun realitinya tidak demikian. Sudah pasti ada ibu bapa tidak akan bersetuju. Dalam hal ini, anjakan paradigma oleh para ibu bapa amat diperlukan. Ibu bapa perlu sedar zaman anak-anak mereka kini bukanlah seperti zaman mereka dahulu. Zaman kini fitnahnya berleluasa dan kerosakan moral telah menggila. Lihatlah apa yang berlaku di seluruh tanah air, rasanya pendedahan oleh media massa mengenai aktiviti pengguguran cukup merisaukan banyak pihak. Apakah ibu bapa mengharapkan anak-anak mereka menjadi malaikat yang tidak terpengaruh dengan suasana persekitaran, rancangan-rancangan hiburan dan bahan-bahan literasi menjurus ke arah maksiat dan nafsu.


Sudah sampai waktunya para ibu bapa moden membuat anjakan paradigma. Mereka hendaklah menerima realiti jahiliah moden yang menggila ini. Mereka menghadapi dua jalan penyelesaian, sama ada menerima arus liberal dan sekular yang menghalalkan segala perhubungan bebas di antara dua jantina, dan kemudian mereka yang akan menanggung malu. Atau pilihan kedua, iaitu untuk membenarkan anak-anak mereka menikmati alam percintaan dengan cara yang halal, iaitu melalui ikatan perkahwinan. Walau bagaimanapun, membenarkan anak-anak mereka bernikah di dalam ini adalah satu risiko. Maka di sinilah peranan ibu bapa moden untuk membantu anak-anak mereka mengurangkan risiko tersebut demi menyelamatkan agama dan maruah mereka.


Saya sedang berusaha untuk menghidupkan kembali ‘nikah gantung’ ini dengan panggilan baru iaitu ‘nikah khitbah’, walaupun menghadapi sedikit masalah penerimaan. Ia semata-mata bertujuan untuk mengelakkan perkara maksiat yang boleh berlaku seperti berhubungan melalui telefon (melepas rindu dendam melalui telefon, sms, chatting, facebook, dll), bertemu antara pasangan walaupun ada mahram (tetap akan berlaku bertentang mata dan apa sahaja yang boleh menjadi muqaddimah kepada zina mata, tangan, hati dll.) Saya sendiri bernikah gantung (nikah khitbah) pada 7/7/1979 iaitu 6 bulan sebelum majlis kenduri. Dengan tiket nikah saya tiada masalah untuk menemui isteri atau keluar bersama-sama (ber’couple’) kerana dah disahkan sebagai suami isteri (gantung – sebab tidak duduk serumah) yg lebih menepati khitbah secara Islam. Malah dengan tiket nikah itu membuatkan saya merasai beban amanah sebagai suami meskipun kami tidak serumah sementara menunggu majlis kenduri pada bulan Disember 1979. Saya mahu menjadi ibubapa yg awal pada zaman moden yang penuh kecelaruan dengan menjadikan nikah khitbah dipraktikkan oleh anak-anak saya yang belum berkahwin, insyaAllah doakan!!


Artikel oleh: Ustaz Hashim Al-Maranji

terima kasih kerna membacanya sehingga tamat, semuga bermanfaat!
wslm

Monday, May 9, 2011

hati dan cikgu...

Assalamualaikum wbt...


Dunia di teluk kumbar...


Teluk Kumbar, satu tempat yang tidak asing bagi setiap guru di sini yang wajib berjuang bermati-matian demi menegakkan ilmu. Satu tempat yang mulanya saya tidak percaya keadaan itu terjadi, tetapi setelah hampir 5 bulan berada di sini menyulam ilmu bersama mereka, saya makin mengerti dengan kata-kata orang tentang sekitar tempat ini.


Jahil..sungguh jahil masyarakatnya...
Jahil dengan ilmu, apalagi amal... Allahu Robbi... seorang guru Kemahiran hidup bukan datang kesekolah untuk mengajar semata-mata, tetapi melemparkan bait-bait ilmu untuk dijamah si hati yang kontang. Pun begitu saya kurang mengerti dengan keadaan mereka sebenar-benarnya. Apa mahunya mereka? Ke sekolah untuk main, ke sekolah untuk jumpa teman, ke sekolah untuk berpacaran, ke sekolah untuk suka-suka? atau untuk apa?


Saya masih berfikir tentang mereka, setiap hari... bagaimana untuk melakukan supaya mereka mahu belajar? guru di sini tidak perlu susah payah memikirkan pelajaran atau isi ilmu yang hebat-hebat, guru di sini hanya perlu buat sesuatu hal supaya mereka mahu belajar kerana hal itu sudah memadai...


persoalannya, cukupkah? puaskah?


nampaknya, semua guru hari ini, perlu berdepan dengan jutaan pelajar yang sangat lemah aqidahnya. tegar kelakuan jahilnya...


teringat zaman belajar dulu... cikgu kata, buka buku, semua pelajar akan patuh arahan buka buku,
beza benar dengan keadaan hari ini, yang apabila disuruh buka buku, jawapannya, buku tak bawak... betapa hancur luluhnya hati seorang guru yang benar-benar berkobar jiwanya untuk mengajar hari ini...


Doa guru mustajab selepas doa ibu bapa... tapi berapa ramai yang percaya itu? berapa ramai juga yang durhaka kepada ibu dan ayah?


'relex la cikgu... mak ayah saya tak cakap apa pun, cikgu lebih-lebih pula kenapa?' 


relex guru-guru hari ini sudah mati, sekarang masanya untuk berlari wahai para guru... anak didik kita sangat perlukan bimbingan kita, mereka sungguh kasihan... jangan kita hanya pentingkan diri... saya yakin satu saat, pelajar itu akan faham mengapa guru bertindak sedemikian untuknya...


tinta ini akan berbuah lagi selepas ini dan lagi dan lagi...


Ya Allah selamatkanlah anak-anak didikku...
jangan biarkan mereka hanyut...


wslm

Friday, April 1, 2011

Pelajar sedang belajar...

Assalamualaikum wbt...

Satu perkataan yang tidak pernah aku sangka keluar dari bibir seorang pelajar perempuan tingkatan 2 kepada seorang cikgu perempuan yang sedang mengajarnya ketika itu. Perkataan yang memang sangat asing bagi seorang guru. Menunjukkan betapa kehormatan seorang guru itu tidak lagi diatas sebaliknya diperkotak - katikkan.

'cikgu bodoh, cikgu gila...' sememang kelihatan biasa pada pandangan remaja hari ini terutama pelajar yang merasakan dirinya hebat dan di'baking' orang belakangnya...

Aku tidak menyalahkan pelajar itu 100% kerana aku sedar segalanya itu adalah bermula dari kehidupan sebelumnya. Aku yakin, pelajar ini tidak pernah didedahkan kepada dua perkataan ini : benda baik dan benda buruk. mungkin juga dia tidak pernah tahu apa benda baik apa benda buruk kerana dia tidak pernah diberitahu. Untuk mengajarnya, kita perlu belajar... 

Ya, belajar menerima kesilapan itu berpunca dari kehidupan dia sebelumnya. Marah itu perlu, tapi setakat mana kemarahan yang kita perlu keluarkan. adakah perlu dihitung kemarahan itu dalam bentuk fizik atau sebaliknya.

Pelajar memang sedang belajar, belajar dari setiap kesilapan dan cara yang terbaik adalah mengawal kesilapan mereka dengan pemantauan dan pemberitahuan. 

Ustaz sekolah pernah cakap, kita kena guna teori. contoh teori pavlof.. teori anjing, bunyi loceng makanan ada dan dia mengeluarkan air liur, (kalau salah silakan tegur)...

Sama juga kita cuba aplikasi sket dalam kehidupan pelajar kita, jika salah, kita tegur, tidak mahu dengar juga, paling tidak tindakan fizikal yang ringan perlu kita tegaskan. Aku suka buat perbandingan untuk dapatkan sesuatu hasil yang lebih baik.

Contohnya ibu bapa zaman dulu, 100% serah pada guru, cara guru itu mengajar diberikan kepercayaan sepenuhnya, yang penting hasilnya terbaik. biasalah pelajar nakal perlu diberi hukuman, barulah dia belajar bahawa tindakannya itu salah dan kemarahan serta hukuman itu jalan habuannya.

Berbanding dengan pelajar sekarang, lebih memberontak, mengeluarkan perkataan kesat dan kasar kepada guru, mengganggu kawan.. Aku yakin semuanya ini berlaku kerana keadaan kehidupan sebelumnya. Tugas guru adalah perbaiki kesilapannya supaya dia belajar dan menjadi insan yang lebih baik...

Maka jangan diganggu, pelajar sedang belajar...

Wasalam...