Search This Blog

Tuesday, May 11, 2010

Salam tautan ukhuwah.


Alhamdulillah, hampir selesai praktikum di SMK Sultan Abdullah Chenderong Balai. Semuanya berjalan dengan baik sekali, walau pun mungkin terdapat sedikit masalah biasa bagi yang akan mengalami perpisahan pasti ada yang merasai kesedihan tersebut. Bukan ini yang ingin dibicarakan.

Sepanjang 4 bulan bergelar guru praktikum, Allah banyak mengajar saya erti sebuah kesabaran yang sebenar. Ya… mungkin saya tak pernah betul-betul faham dengan erti sabar satu saat dulu. Allah mengingatkan saya bahawa sabar itulah yang terbaik malah terhebat jua. Bila saya lupa, Allah sedarkan saya. Allah bangunkan saya dari pembaringan untuk saya membuka langkah seawal pagi. Subhanallah. Saya makin ngerti apa itu sabar yang sebenarnya. Alhamdulillah ya robb.

Saling merasai perasaan seorang guru dan pelajar itulah perkara pertama malah asas bagi sebuah kecemerlangan dunia dan akhirat. Pelajar faham apa maunya guru, guru juga faham apa maunya pelajar itu dan sama-sama saling memberi dan menerima, penerapan nilai ‘what you give, you get back’ saya cuba tekankan kepada pelajar saya yang masih mentah untuk mengenal mengapa perlu belajar itu, belajar ini.

Khoirul Annuar… Sinaran itu akan menerangi.

Sangat tidak praktikal sebenarnya teori yang pernah saya pelajari di UPSI dulu jika hendak diterapkan dalam sesi P&P. Bagaimana sesetengah teori tidak dapat dipraktikkan dalam P&P. Teori seperti problem based learning, boleh dikatakan sesuai namun bukanlah untuk semua tajuk dan juga sangat kurang boleh dipraktikkan kepada pelajar kelas pertengahan dan bawah. Begitu juga dengan teori konstruktivisme amat kurang sesuai untuk diajari bagi kelas pertengahan dan bawah. Pun begitu teori ini hanya sesuai diajarkan kepada sesetengah tajuk sahaja seperti persamaan linear dan sebagainya.

Mengajar memang semudah ABC, apa lagi bagi guru dari UPSI kelas pertama. Namun sejauh mana penekanan kepentingan ilmu dan penerapan nilai akhlak mulia serta dakwah islam itu disampaikan kepada pelajar? Itulah yang lebih perlu diutamakan. Mengajar tentulah tidak sama dengan mendidik. Guru tentulah tak sama dengan ibu bapa. Bukan mengatakan bahawa ibu bapa sahaja perlu mendidik, tetapi seorang guru perlu ada pakej ibu, bapa & guru (PIBG). Barulah guru itu dijamin guru cemerlang. Kalau setakat mengajar pelajar kelas terkehadapan, bijak main soalan dengan pelajar, pakar dalam menyediakan soalan-soalan peperiksaan sahaja, jangan bermimpi mahukan title guru cemerlang di mata murobbi. Jauh panggang dari api.

Kesungguhan dan ketegasan itu perlu dalam mengajar dan mendidik jiwa pelajar terutama pelajar SMK yang masih muda dan rapuh. Cemerlang akhlak dan cemerlang akademik, cemerlang dunniawi dan ukhrawi harus beriringan, namun bukanlah beriringan itu beerti seimbang ye…. No, no, no… beiringan itu beerti cukup rasanya.apa yang perlu lebih dilebihkan dan apa yang perlu kurang wajar dikurangkan. Dunia sekarang ni pelik sedikit kerana menekankan keseimbangan yakni, bila ma’ruf naik, maka mungkar pun beriringan. Inilah yang silapnya orang melayu, apalagi Islam.

Satu kesyukuran, 2 hari lepas saya mendapat berita seorang sahabat berbangsa cina sabah, telah sebulan menganuti Islam, Subhanallah. Selamat datang saya ucapkan kepadanya. Semuga Allah memberi kekuatan dan ketenangan dalam meneruskan bahtera hidup sebagai saudara baru Islam. Istimewa ucapan ini dari semua sahabat UPSI untuk anda Eng King Kwong! Semuga Istiqamah hendaknya. Sama-samalah kita membantunya. InsyaAllah!

Wallahualam.

Berkata untuk mengkritik,
Mengkritik untuk mengerti,
Mengerti untuk menyelami,
Menyelami untuk membaiki.
Ya.. baiki sebuah keadaan runcing ini.

Wslm

10.50 p.m – 10 Mei 2010 (Perumahan Awam I, chenderong Balai)

Aku kenal persis



Dari jauh kelihatan,
Raut wajah cemerut tak keruan,
Membuat satu petanda papan,
Amarah, kecewa atau amaran?

Namun,
Lenggok gaya jalanmu,
Lantang merdu suaramu,
Jua ketegasanmu,
Sangat dikenaliku.

Emang keringatmu keringnya tak pernah,
Menitis merintik mencurah basah,
Bukan membanting membajak sawah,
Tapi membanting membina ukhuwah,
Tautan generasi terhebat ummah,
Bukan inginkan pujian mencurah,
Cukup sekadar difahamilah,
apa hendaknya gerangan jiwa gundah.

Kerlingan sebuah jelingan sinis,
Sudah aku tangkap maksudnya persis,
Kerjaku beres,
Usahaku sukses,
Pasti senyum aku dapati manis,
Lakaran bibirmu kian berkumis.

Guru,
Jiwamu tak kukenali dalam,
Dirimu tak ku senangi pendam,
Kerna ketegasan terkadang buatku kelam,
Tenggelam dalam ketakutan seram,
Jiwamu suram,
tak pernah kusiram,
Apa yang aku dendam,
Terus dia memberi redam,
Kerja, kerja oh kerja rumah bertilam.

Rupanya kini baru ku sedari,
Bila aku belajar berdikari,
Berdiri di mercu sunti,
Meraih sebuah mahkota hati,
Aku sangat berterima kasih lagi,
Pada sebuah usaha gigih sejati,

Guru,
Semakin lama makin aku pasti,
Marahmu kerna kau menyayangi,
Bebelanmu kerna kau mengasihi,
Pukulanmu kerna kau sangat mengingini,
Kau ajari aku mengenal erti,
Senaskah cinta abadi,
Hingga aku rasa ingin berlari sekuat hati,
Menyayangi, mengasihi dan menyintai,
Sebuah bahagia duniawi dan ukhrawi, buatku pasti.

Wednesday, May 5, 2010

Seluar Londeh & Pakaian Seksi Wanita : Suatu

Oleh : Zaharuddin Abd Rahman
 
Di dalam Islam hak berpakaian bukanlah hak milik bebas kita semua. Sebagai hamba Allah, kita perlu memahami hidup ini sentiasa diikat dengan pelbagai jenis hak antara satu sama lain.
 
Hak terutama dan yang tertinggi ; adalah hak Allah SWT, samada suka atau tidak sesuatu hukum yang 'putus' seperti larangan Zina, Riba, tinggal solat, menutup aurat dan lain-lain adalah tidak boleh ditoleran oleh keadaan dan berubah mengikut peredaran zaman. Ia dinamakan hukum hakam yang bersifat 'muhkamat' atau 'Qatiyyat', tatkala itu, sebarang idea dan logik aqal manusia tidak boleh masuk campur dalam hal urusan hukum sebegini untuk mengubahnya menjadi harus dan halal.
 
Mudahnya, ia disebutkan di dalam hadis ini :-

فقال يا مُعَاذُ هل تَدْرِي حَقَّ اللَّهِ على عِبَادِهِ وما حَقُّ الْعِبَادِ على اللَّهِ قلت الله وَرَسُولُهُ
أَعْلَمُ قال فإن حَقَّ اللَّهِ على الْعِبَادِ أَنْ يَعْبُدُوهُ ولا يُشْرِكُوا بِهِ شيئا
 
Ertinya : Wahai Muadz, adakah kamu sedar dan tahu apakah hak Allah yang patut dijaga oleh hambanya, dan apa pula hak hamba yang patut dijaga oleh Allah?
 
Muadz menjawab : Allah dan rasulNya lebih mengetahui.
 
Baginda menjawab : "Sesungguhnya hak Allah yang wajib dijaga oleh hambanya adalah agar mereka sentiasa tunduk abdikan diri kepadaNya ( dengan turuti perintah dan jauhi larangannya) dan jangan ia mempersekutukanNya dengan satu apa pun.." ( Riwayat Al-Bukhari, no 2701, 3/1079)
 
Hak kedua ; adalah hak Nabi Muhammad SAW secara peribadi seperti berselawat ke atas baginda SAW apabila mendegar nama baginda disebut.
 
Terdapat juga hak baginda yang bukan peribadi tetapi atas kapasiti 'Nabi' dan 'Rasul' yang mesti diikuti manakala sebahagian lagi hanya disunatkan sahaja.
 
Hak ketiga ; adalah hak pemerintah yang adil dengan cara mentaati mereka selagi mana tidak dibawa kepada kebinasaan. Sebarang penyalahgunaan hak oleh kumpulan ini, wajib dicanggahi. Sabda nabi SAW :

لا طاعة لمخلوقٍ في معصية الله إنما الطاعة في المعروف
 
Ertinya : "Tiada ketaatan kepada makhluk dalam hal yang membabitkan maksiat kepada Allah, sesungguhnya taat hanyalah dalam hal yang membawa kebaikan" ( Riwayat Al-Bukhari, Muslim, At-Tirmidzi, 4/209 : Tirmidzi : Hasan Sohih)
 
Hak keempat dan yang ke seterusnya ; adalah hak orang ramai, antaranya hak jiran tetangga, hak rakan dan saudara dan juga hak untuk tidak dicederakan, hak bersuara, hak tidak dimalukan dan tidak diganggu, hak tubuh badan dan pelbagai lagi.
 
Saya tidak berniat untuk mengulasnya dengan terperinci, cuma saya ingin mengaitkannya dengan hak kebebasan berpakaian.
 
Adakah Islam memberikan umatnya hak kebebasan berpakaian, mengikut citarasa masing-masing, canggih, tidak kiralah sama ada ia jarang memperlihatkan susuk tubuh dan warna kulit di bawah pakaian, bertudung jarang sehingga kelihatan rambut dan telinga, berseluar ketat, bert-shirt pendek dan sepertinya. Adakah apa sahaja yang cantik menurut selera, walaupun seksi dibenarkan atas dasar ia hak peribadi? Tidak boleh campuri urusan orang lain?
 
"eleh, ini kan tubuh saya, suka hati saya la nak buat apa!" jeritan seorang wanita muda yang marah bila muncul isu ni.
Jawapnya, tubuh ini adalah pinjaman sahaja dan bukan hak milik kita. Jika hak milik kita, kita boleh mematikannya dan menghidupkannya semula sesuka hati kita, sama seperti kereta 'remote control' milik anak kita. Kita boleh dengan sesuka hati sahaja menggayakannya dan menggunakannya, bila habis bateri pula boleh diisi semula dan berjalan lagi dan lagi.
 
Sebab itu juga kita tidak dibenarkan oleh Islam dan juga undang-undang untuk menjual sepotong tangan, sebiji jantung, sebiji kepala kita kepada orang lain sesuka hati. 
 
Tubuh yang kita miliki ini bukan demikian, ia mesti digayakan menurut kehendak pemiliknya iaitu Allah SWT. Islam memang memberikan kebebasan dalam pakaian tetapi tidak terbuka begitu sahaja, ia terikat dengan hak dan ketetapan yang ditentukan oleh Allah dan RasulNya.
 
Justeru bagi sesiapa yang punyai iman, hak kebebasannya untuk memilih apa jua jenis pakaiannya adalah tertakluk kepada displin pakaian yang ditentukan oleh Allah dan RasulNya.
 
Berdasarkan hak tersebut, wanita dan lelaki yang masih ada keimanan terhadap Allah dan rasulNya serta hari kematian dan balasannya, mereka tidak boleh melanggar hak Allah ini.
 
Tiada pakaian seksi dibenarkan kerana ia :-
 
1) cabuli hak Allah ; hak Allah lebih utama dari hak kita secara peribadi sebagai manusia.
Mana logiknya? Allah yang memberikan segalanya buat kita, tiba-tiba kita ingin diberikan kebebasan ikut suka hati kita?.
 
Sabda nabi SAW :

إن الله حد حدودا فلا تعتدوها وفرض لكم فرائض فلا تضيعوها وحرم أشياء فلا
تنتهكوها
 
Ertinya : "Sesungguhnya Allah telah meletakkan had tertentu (dalam kehidupan kta), maka jangan kamu cerobohinya, dan telah menwajibkan bagi beberapa kewajiban dan jangan kamu sesekali mengabaikannya dan telah mengharamkan beberapa perkara dan jangan kamu langgarinya." ( Riwayat Al-Hakim, 4/129 : Az-Zahabi tidak memberikan komen tentang tahap hadis ini)
 
2) cabuli hak manusia lain ; berpakaian seksi ini juga tidak dibenarkan kerana ia melanggar hak orang lain yang sedang cuba menjaga iman dan mata mereka dari dosa-dosa.
 
"Jika nak seksi nampak pusat, seluar dalam, coli, dan bahagian-bahagian yang tidak sepatutnya ditayangkan, sila berpindah dari planet bumi" Jawap saya kepada sekumpulan wanita yang bertanyakan hukum kebebasan dalam pakaian.
 
"pastikan, planet baru itu tiada makhluk yang boleh terganggu dengan seksinya anda"
 
"Jika tidak, seksilah sepuasnya di depan mata suami anda, inshaAllah bermanfaat"
 
Saya memuji negeri Kelantan yang berusaha menjunjung hak Allah dan RasulNya sehingga mendesak mereka mengaturkan undang-undang khas pemakaian atau 'dress code', dikenakan denda bagi sesiapa yang melanggarnya. Ia amat baik kerana selain mencarik hak Allah SWT, pakaian seksi yang ditayang secara terbuka boleh menjejaskan keharmonian rumah tangga orang lain.
 
Suami orang terlihat lalu terganggu kasihnya kepada isterinya di rumah, pemuda dan pemudi terangsang dan dirangsang lalu porak peranda hidup mereka dengan zina dan dibuang keluarga akibat 'bunting' sebelum kahwin.
 
Hancur ikatan suami isteri, musnah ikatan keluarga hanya dengan pakaian 'seksi' . Manusia tidak sedar dan sering mengganggap kecil. Semua perkara yang termasuk dalam hak Allah dan RasulNya sudah pasti tidak akan hanya melibatkan perkara kecil, ia pasti memberi impak yang besar kepada ketidakstabilan hidup secara umum.
 
"come on ustaz, takkanlah ustaz nak salahkan pakaian semata-mata dalam hal ini, think big, ahead and more mature la ustaz" Mungkin ini akan dihenyakkan kepada saya oleh wanita peminat pakaian seksi agaknya.
 
Sudah tentu bukan kerana pakaian seksi itu semata-mata tetapi ia adalah pelengkap dan sebagai 'medium' menggabungkan nafsu lelaki yang tidak terkawal dengan nafsu wanita yang 'gila' seksi dan juga liar. Ia juga sebagai jambatan dan 'iklan' untuk berlakunya zina, rogol dan seumpamanya. Itulah adalah pakaian seksi dan berbogel secara 'sipi-sipi'.
 
"Sebenarnya ustaz, bogel terus lebih kurang bahaya dari seksi" kata seorang mahasiswa kepada saya melalui sms.
 
Bila ditanya mengapa, ia kata "Kerana bogel terus tak 'best', tak 'suspend', terus nampak je,  berbanding seksi. Nampak sikit sana, sikit sini. Sebab tu ia lebih mendebarkan jantung dan nafsu muda kami untuk melihat lebih lagi dan lagi hingga boleh jatuh buat zina dan rogol" sambung mahasiswa berdarah anak muda ini.
 
Satu penjelasan yang jujur pada hemat saya.
 
Awas, jangan sesekali kita merasa lebih pandai dari Allah dan RasulNya yang mengatur system alam ini. Kelak kita akan ke kubur jua.
 
Kini, sebuah negeri di Amerika mungkin semakin sedar buruknya pakaian seksi ini, cuma akibat tiada keimanan dan ilmu mencukupi, mereka hanya mula larang 'seluar londeh' sahaja buat masa ini, sedangkan baju londeh, kain londeh dan londeh-londeh yang lain masih belum dapat ditanggapi keburukannya oleh aqal manusawi mereka yang lemah.
 
Kerana itu, ajaran agama diperlukan. Itulah Islam satu-satunya yang diredhai Allah.
 
Sekian
 
Zaharuddin Abd Rahman
30 Ogos 2007
18 Syaaban 1428 H

Tuesday, May 4, 2010

ISU REMAJA ISLAM




REMAJA TERIKUT TREND BARAT

Pada zaman globalisasi ini, negara-negara di seluruh dunia yang terpisah oleh jarak ribuan kilometer dianggap sangat dekat kesan kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi. Oleh sebab itu, apabila berlaku suatu perkembangan terbaru di sesebuah negara, terutamanya negara maju, maka perkembangan itu akan melanda negara-negara lain dengan pantas. Golongan remaja yang paling mudah terikut-ikut trend semasa terutamanya golongan remaja Islam. Mereka akan meniru cara pergaulan, berpakaian, berkomunikasi atau cara berhibur yang ditonton di televisyen atau dilayari melalui internet.

Hal ini terjadi kerana remaja memang memiliki sifat suka meniru dan cepat terpengaruh dengan sesuatu yang dianggap menarik. Mereka memiliki sikap suka mencuba sesuatu yang baharu tanpa berfikir panjang tentang kebaikan atau keburukannya. Antara aspek kehidupan yang kerap berubah termasuklah gaya berpakaian. Remaja suka meniru cara masyarakat Barat berpakaian sebagaimana yang ditonton di televisyen. Oleh sebab itu, bilangan remaja yang berani berpakaian menjolok mata hingga mendedahkan aurat semakin meningkat. Sesungguhnya hal ini merupakan suatu trend yang kurang sihat bagi masyarakat timur yang terkenal dengan adab sopan.

Selain itu, remaja mudah terikut-ikut dengan trend pergaulan remaja Barat yang saban hari ditonton di skrin televisyen. Mereka turut mengamalkan kehidupan bebas tanpa memikirkan batasan agama atau adat. Pergaulan bebas antara lelaki dan wanita ini memang suatu fenomena yang tidak sihat kerana keadaan ini mudah menjerumuskan remaja ke lembah hubungan seks bebas yang terang-terang melanggar hukum agama dan dapat mencetuskan masalah sosial yang lain, misalnya kes pembuangan bayi.

Perkembangan dunia hiburan di Barat turut juga menjadi ikutan remaja hari ini. Mereka meminati muzik ‘Black Metal’ dan meniru gaya pemuzik itu. Ada yang menjadikan pemain muzik, penyanyi atau pelakon itu sebagai idola mereka hingga meniru fesyen rambut dan gaya berpakaian yang menjolok mata. Malahan, mereka sanggup bertindak liar hingga tidak lagi mengamalkan budaya hormat-menghormati atau bersopan-santun. Sebaliknya, mereka kerap mengeluarkan kata-kata kesat dan menunjukkan perlakuan lucah.

Dalam hal ini, setiap remaja mestilah mengetahui apabila olahraga merupakan penyegar rohani dan ilmu pengetahuan merupakan penyegar akal fikiran, nescaya seni adalah penyegar dan santapan bagi jiwa. Hanya yang dimaksudkan dengan seni di sini adalah suatu bentuk karya yang dapat mengangkat martabat manusia, bukan menjerumuskannya ke dalam kehinaan.

Apabila jiwa seni itu adalah rasa dengan adanya keindahan dan keni’matan dalam jiwa penghayatinya, hal inilah yang selalu diperhatikan dan ditekankan oleh kebanyakan ayat Al-Qur’an. Kita dengan tegas diingatkan kepentingan unsur keindahan dan kecantikan yang telah Allah SWT ciptakan pada setiap makhluk-Nya, selain unsur manfaat atau faedah yang juga ada padanya. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Yang membuat segala sesuatu yang Dia ciptakan sebaik-baiknya.” (As-Sajadah:7).

Islam menghidupkan cita rasa keindahan dan mengukuhkan seni keindahan, tetapi dengan syarat tertentu yang membawa kemasyarakatan dan tidak mendatangkan kerosakan.Setiap remaja mestilah mengamalkan adab berlandaskan Islam, bersikap lemah lembut dan berbudi bahasa. Daripada Aisyah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “ Sesungguhnya Allah Taala itu lemah lembut dan suka kepada lemah lembut. Dan Ia memberi hasil kerana lemah lembut itu apa yang tidak Ia berikan atas tindakan yang kasar atau tindakan lainnya”. Kelembutan dalam tindakan yang dimaksudkan adalah satu perkara yang sangat baik dan patut dilaksanakan, perkataan yang dituturkan dengan lemah lembut itu amat berkesan di lubuk hati.
 
sumber: http://sinarnurani.blogspot.com/2008/10/isu-remaja-islam.html
 
wslm 

Sunday, May 2, 2010

mungkin posmen juga letih!

Mungkin posmen juga sudah letih dengan kerjaannya, kepala ini menerawang fikirkan sesuatu yang terbuku dalam hati seorang insan bergelar posmen. sesekali terdetik, mungkinkah mereka juga sudah letih untuk menjalankan tugas yang sekian lama dijalankan itu. Tiba dihadapan pagar rumah sewa chenderong balai, beberapa hari lepas, terlihat bil elektrik terselit dicelah pintu pagar yang agak rapat kedudukannya dengan pintu rumah. Di hadapan pintu pagar pula, saya melihat gumpalan bil elektrik yang rosak tercampak ke bawah. Atau mungkinkah posmen ini sudah hilang adab, dengan membuang sampah dihadapan rumah orang sesuka hati?

Saya terfikir dan berfikir. Antara kerja yang ada didunia ini, posmenlah yang kerjanya tidak perlu berperang. jika difikirkan lagi, sebagai seorang polis atau tentera perlunya perang yang nyata, pemandu pula perangnya dengan bosnya yang sentiasa berkejar ke sana sini, begitu juga dengan seorang doktor yang berperang dengan kesakitan yang dihidapi pesakitnya, pemimpin juga berperang dengan orang bawahannya untuk berikan yang terbaik, guru juga tidak lepas untuk berperang dengan anak-anak muridnya yang perlu dididik dengan sebaik-baik cara.

Sepanjang dewasa ini, ada beberapa kes yang telah jadi pengalaman  saya. walaupun masih baru tetapi kerakusan yang terlitup sudah pun terbentang dan tiada beralas lagi. Bagaimana lagi hendak ditangani remaja-remaja ini. Tika ini kemarahan itu bukanlah lagi jalan terbaik, sebaliknya ketegasan yang sedikit diselitkan dengan belaian jiwa kepada mereka adalah lebih utama. Kita juga pernah remaja, maka amatlah kita faham sekali bahawa remaja ini perlu kita fahami dan dalami hatinya. Maunya apa, untuk apa, kenapa dan bagaimana? beberapa persoalan ini wajarnya kita rungkaikan satu persatu dengan rasional, bukannya marah membabi buta. 

Kemarahan dan keganasan hanya akan memberi kemudharatan kepada pemberontakan dari jiwa remaja ini. Jiwa remaja yang semakin marak dengan kata hati yang ingin mencuba. Perlu juga kita ingat dan berhati-hati dalam mendidik jiwa remaja ini. 

Saya paling panas jika ada yang mengatakan hidup ini adalah pertaruhan atau perjudian, sama sekali saya bangkang dan tolak, hidup ini kan satu perjuangan bukannya pertaruhan, nak bertaruk apa? BUkankah perjudian itu adalah haram disisi Islam? Mengapa lagi mahu dikatakan hidup ini perjudian, tolong perbetulkan minda kita, sebenarnya hidup ini adalah perjuangan menuju redhoNya.

Kebanyakan penulisan dalam blog ini adalah lebih kepada jiwa dan pendidikan. Hal ini kerana penulis ini adalah cenderung kepada pemikiran sebegitu juga satu cabang profession penulis. Pada saya, untuk mendidik seseorang menjadi berakhlak, baik dan ingin mencari mardhotillah, segalanya bermula dari ketenangan jiwa. Jiwa yang sakit, tidak mampu untuk meraih walau sekelumit segala yang saya nyatakan, hanya dengan jiwa yang sihat dan tenang sahajalah segalanya mampu diraih disamping semua ujian yang diberikan Allah, membuatkan diri menjadi lebih akrab dengan Yang Maha Pencipta. Ketenangan yang abadi adalah datangnya dari jiwa yang tenang, hilang yang hitam, terserlahlah keputihan suci. 

Saya ingin mencadangkan pembaca sekalian membaca sebuah lagi buku karangan sifu abdul latip talib berjudul Iman Syafie, pejuang kebenaran. Cerita sejarah yang ditulis dalam bentuk novel. Saya tidak menafikan boleh menitis bukan setitis hujan air mata, tetapi mungkin banjir, jika didalami benar-benar ceritanya. Subhanallah, begitu menggamit rasa untuk membaca karyanya yang seterusnya.Selamat membaca!

p/s: jika ada kelapangan dan bagi yang beminat dengan genre politik, saya cadangkan baca buku karangan faisal tehrani, berjudul saasatul ibaad ( pelaku politik), ceritanya agak berat kerana ada sesetengah perkataan yang digunakan kurang difahami, saya pun baru baca lebih separuh, tapi kalau berminat silakan mula pembacaan anda! pasti mendapat kejutan dan menakjubkan!


sekadar ini, wallahu;alam bisowab.

wasalam, syukran awi-awi!