Search This Blog

Tuesday, May 4, 2010

ISU REMAJA ISLAM




REMAJA TERIKUT TREND BARAT

Pada zaman globalisasi ini, negara-negara di seluruh dunia yang terpisah oleh jarak ribuan kilometer dianggap sangat dekat kesan kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi. Oleh sebab itu, apabila berlaku suatu perkembangan terbaru di sesebuah negara, terutamanya negara maju, maka perkembangan itu akan melanda negara-negara lain dengan pantas. Golongan remaja yang paling mudah terikut-ikut trend semasa terutamanya golongan remaja Islam. Mereka akan meniru cara pergaulan, berpakaian, berkomunikasi atau cara berhibur yang ditonton di televisyen atau dilayari melalui internet.

Hal ini terjadi kerana remaja memang memiliki sifat suka meniru dan cepat terpengaruh dengan sesuatu yang dianggap menarik. Mereka memiliki sikap suka mencuba sesuatu yang baharu tanpa berfikir panjang tentang kebaikan atau keburukannya. Antara aspek kehidupan yang kerap berubah termasuklah gaya berpakaian. Remaja suka meniru cara masyarakat Barat berpakaian sebagaimana yang ditonton di televisyen. Oleh sebab itu, bilangan remaja yang berani berpakaian menjolok mata hingga mendedahkan aurat semakin meningkat. Sesungguhnya hal ini merupakan suatu trend yang kurang sihat bagi masyarakat timur yang terkenal dengan adab sopan.

Selain itu, remaja mudah terikut-ikut dengan trend pergaulan remaja Barat yang saban hari ditonton di skrin televisyen. Mereka turut mengamalkan kehidupan bebas tanpa memikirkan batasan agama atau adat. Pergaulan bebas antara lelaki dan wanita ini memang suatu fenomena yang tidak sihat kerana keadaan ini mudah menjerumuskan remaja ke lembah hubungan seks bebas yang terang-terang melanggar hukum agama dan dapat mencetuskan masalah sosial yang lain, misalnya kes pembuangan bayi.

Perkembangan dunia hiburan di Barat turut juga menjadi ikutan remaja hari ini. Mereka meminati muzik ‘Black Metal’ dan meniru gaya pemuzik itu. Ada yang menjadikan pemain muzik, penyanyi atau pelakon itu sebagai idola mereka hingga meniru fesyen rambut dan gaya berpakaian yang menjolok mata. Malahan, mereka sanggup bertindak liar hingga tidak lagi mengamalkan budaya hormat-menghormati atau bersopan-santun. Sebaliknya, mereka kerap mengeluarkan kata-kata kesat dan menunjukkan perlakuan lucah.

Dalam hal ini, setiap remaja mestilah mengetahui apabila olahraga merupakan penyegar rohani dan ilmu pengetahuan merupakan penyegar akal fikiran, nescaya seni adalah penyegar dan santapan bagi jiwa. Hanya yang dimaksudkan dengan seni di sini adalah suatu bentuk karya yang dapat mengangkat martabat manusia, bukan menjerumuskannya ke dalam kehinaan.

Apabila jiwa seni itu adalah rasa dengan adanya keindahan dan keni’matan dalam jiwa penghayatinya, hal inilah yang selalu diperhatikan dan ditekankan oleh kebanyakan ayat Al-Qur’an. Kita dengan tegas diingatkan kepentingan unsur keindahan dan kecantikan yang telah Allah SWT ciptakan pada setiap makhluk-Nya, selain unsur manfaat atau faedah yang juga ada padanya. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Yang membuat segala sesuatu yang Dia ciptakan sebaik-baiknya.” (As-Sajadah:7).

Islam menghidupkan cita rasa keindahan dan mengukuhkan seni keindahan, tetapi dengan syarat tertentu yang membawa kemasyarakatan dan tidak mendatangkan kerosakan.Setiap remaja mestilah mengamalkan adab berlandaskan Islam, bersikap lemah lembut dan berbudi bahasa. Daripada Aisyah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “ Sesungguhnya Allah Taala itu lemah lembut dan suka kepada lemah lembut. Dan Ia memberi hasil kerana lemah lembut itu apa yang tidak Ia berikan atas tindakan yang kasar atau tindakan lainnya”. Kelembutan dalam tindakan yang dimaksudkan adalah satu perkara yang sangat baik dan patut dilaksanakan, perkataan yang dituturkan dengan lemah lembut itu amat berkesan di lubuk hati.
 
sumber: http://sinarnurani.blogspot.com/2008/10/isu-remaja-islam.html
 
wslm 

No comments:

Post a Comment