Fardhilat Puasa 6

by - July 01, 2018

Bismillahir rahmanir rahim.

Salam Syawal. Alhamdulillah harini 17 Syawal bersamaan 1 Julai 2018. Rasanya masih belum terlambat  untuk mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDIL FIRTI, Maaf zahir dan batin. 

Mesti ramai kan yang tengah puasa 6. Dah berapa hari dah tu? Tapi ramai juga la yang terpaksa tangguh dan selang selang puasa... betui kan? Almaklum la, ramai yang tengah dok buat open house. Sama la, saya pon baru 4 hari puasa. Isnin ni nak sambung puasa, tapi ada jamuan raya perdana pulak kat sekolah. Selasa la sambung balik puasa. Sayang...


Jom kita semak sikit apa fardhilat PUASA 6 yang ramai dah tahu, tapi kadang-kadang lupa kan?

*1* Ganjaran seperti berpuasa selama setahun

Jika puasa di bulan Ramadhan, Rasulullah s.a.w menjanjikan pengampunan dosa yang lampau, maka dengan melengkapkan puasa enam hari dalam bulan Syawal pahalanya sama seperti berpuasa setahun. Seperti yang diriwayatkan oleh Abu Ayyub ra, Rasulullah s.a.w bersabda:

“Barangsiapa berpuasa pada bulan Ramadhan lalu diiringinya dengan puasa enam hari bulan Syawal, bererti ia telah berpuasa setahun penuh.” 
Hadis Riwayat Muslim, Abu Dawud, at-Tirmidzi, an-Nasa’i dan Ibnu Majah

Nabi Muhammad s.a.w sendiri sudah pon menjelaskan bahawa puasa enam hari pada bulan Syawal, pahalanya sama seperti berpuasa penuh setahun dengan syarat, telah kita melengkapkan puasa sebulan Ramadan. 

*2* Melengkapkan kekurangan puasa Ramadhan

Al-Hafiz Ibnu Rajab berkata, berpuasa enam hari di bulan Syawal akan melengkapkan kekurangan dan kecacatan yang terdapat sewaktu melaksanakan ibadah puasa di bulan Ramadhan.

Selain itu, terdapat beberapa pandangan ulama dari mazhab al- Syafi’e antaranya Imam Nawawi, berpendapat seseorang yang telah lengkap berpuasa Ramadhan perlu menyambung puasanya (enam hari bulan Syawal) secara serta-merta dan berturut-turut setelah merayakan Aidilfitri.
Ini adalah untuk mencantikkan lagi puasa Ramadan yang lepas.

*3* Mengigatkan manusia tentang puasa sunat

Dengan mensyariatkan puasa sunat enam hari dalam bulan Syawal, umat Islam akan terlatih untuk meneruskan puasa sunat yang lain. Kemungkinan umat Islam akan terlupa untuk meneruskan ibadah puasa sunat lain setelah menyambut hari raya Aidilfitri.

Oleh itu, melalui puasa sunat enam Syawal sekurang-kurangnya mengingatkan kepada umat Islam untuk terus berpuasa, tidak semata-mata menunggu kedatangan Ramadhan untuk berpuasa.



*4* Mendidik diri supaya bersederhana menyambut Aidilfitri

AidilFitri diraikan sebagai tanda kemenangan menempuhi Ramadhan yang lalu. Namun itu tidak bermakna umat Islam harus meraikannya sehingga sebulan penuh dalam bulan Syawal itu.

Sebaiknya, puasa sunat Syawal sudah pun dimulai pada 2 Syawal dan dilakukan secara berturut-turut. Hal ini menunjukkan kita tidak terlalu berlebihan dalam berhari raya dan lebih mengutamakan kelebihan dan ganjaran dalam bulan Syawal itu.

Oleh itu, puasa sunat enam pada bulan Syawal adalah keutamaan selepas berpuasa di bulan Ramadhan. Dengan itu, ibadah ini sebaiknya dilakukan dengan segera dan lebih afdal secara berterusan atau berselang. Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (ke arah mendapatkan) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa.”
Surah Ali Imran:133

Namun, bagi golongan wanita yang meninggalkan puasa Ramadhan atas sebab datang haid sebaiknya menggantikan puasa Ramadan sebelum berpuasa sunat.

Kebanyakkan ulama berpendapat, seseorang yang meninggalkan puasa Ramadhan seelok-eloknya menggantikan puasa itu terlebih dahulu sebelum meneruskan puasa enam hari bulan Syawal.

Jom berpuasa 6. Semuga ibadah kita diterima oleh Allah dan menjadikan puasa kita pada Ramadhan lalu lebih sempurna. InshaAllah

wasalam


You May Also Like

2 comments

Selamat Berkomen. Silakan komen yang membina ya!