Isu Lahad Datu?
Assalamualaikum wbt,
Masih menunggu berita gembira itu, ternyata Allah ingin memberi pahala buat kita melalui rasa sabar dan redho...
Isu lahad datu?
KUALA LUMPUR: PAS mengingatkan Umno-BN supaya jangan terlalu ghairah meraikan kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke Lahad Datu untuk kepentingan politik hingga menenggelamkan jasa para perajurit yang gugur dan yang masih bertungkus-lumus mempertaruhkan nyawa mereka demi mempertahankan kedaulatan negara dan Sabah.
“Keghairahan Umno-BN untuk meraikan kedatangan Najib ke Lahad Datu seolah-olah 'pertempuran sudah tamat dan kini tiba masa untuk meraikannya' tatkala polis dan anggota tentera masih bertungkus-lumus untuk membasmi penceroboh bersenjata dari Filipina amat dikesali,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Dalam kenyataannya hari ini, Tuan Ibrahim berkata insiden pertumpahan darah di Sabah mendedahkan kelemahan ketara cara pihak kerajaan menguruskan sempadan negara.
“Ternyata tahap penjagaan kedaulatan negara di bawah kerajaan BN kini berada pada tahap yang sangat kritikal. Perkara ini sungguh dikesali,” kata beliau.
Selain gagal mengurus isu dalam negara seperti yang diketahui umum, Tuan Ibrahim berkata rakyat masih ingat bagaimana negara kehilangan Pulau Batu Putih kepada Singapura.
Di bawah kepimpinan Umno-BN, katanya negara juga kehilangan tanah keretapi di sepanjang laluan Singapura tanpa mengetahui apa pulangan hasilnya kepada rakyat, dan kawasan telaga minyak Blok L dan M kepada Brunei ketika Tun Abdullah Badawi menjadi Perdana Menteri.
“Tun Dr Mahathir pernah mendakwa kehilangan telaga-telaga minyak mengakibatkan jumlah kerugian dalam bentuk perolehan berjumlah AS$100 bilion (RM320 bilion),” tambahnya lagi.
Dalam insiden pencerobohan di Sabah, kata Tuan Ibrahim, rata-rata rakyat termasuk pemimpin Umno-BN sendiri tercari-cari jawapan bagaimana pasukan penceroboh dari Filipina yang berjumlah ratusan orang boleh menembusi sempadan negara dengan membawa senjata api.
“Mereka juga dibiarkan berada berminggu-minggu lamanya dalam negara tanpa sebarang tindakan, sehingga ia menjadi suatu ancaman terhadap keselamatan rakyat dan pasukan keselamatan.
"Kerajaan BN perlu tampil menjelaskan perkara ini, dan sekiranya ada rundingan dalam tempoh tersebut, kerajaan BN perlu menjawab maklumat rundingan dan punca kegagalan rundingan kepada rakyat sehingga berlaku pertempuran.
"Kerajaan BN juga perlu menjawab mengapa perkembangan insiden di Sabah tidak dilaporkan secara telus sehingga rakyat terpaksa bergantung kepada berita daripada Filipina untuk mengetahui lanjut mengenai situasi sebenar di Lahad Datu,” tegas beliau.
Tuan Ibrahim, yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang berkata rakyat menyambut baik tindakan keras kepada para penceroboh yang telah membunuh beberapa anggota polis.
Akan tetapi, kata beliau, rakyat juga ternanti-nanti ingin mengetahui punca sebenar sehingga menyebabkan pertempuran berlaku sehingga 8 anggota polis terkorban dan juga hukuman berat kepada mereka yang didapati melakukan pengkhianatan terhadap negara dalam insiden ini.
“Sebagai contoh, rakyat ingin mengetahui apakah punca insiden ini lahir daripada tindakan menganugerah warganegara kepada warga asing secara rakus bermotifkan kepentingan politik dalam Projek IC yang kini hangat dicela merata tempat?
"Lebih menarik perhatian rakyat ialah persoalan kenapa insiden pencerobohan ini berlaku di saat negara berada di ambang pilihanraya umum tatkala laporan kajian mendapati sokongan terhadap kepimpinan Perdana Menteri semakin jatuh?” soal beliau
wallahu alam...
~Al fatihah untuk pejuang-pejuang~
0 comments
Selamat Berkomen. Silakan komen yang membina ya!