~ institusi sekolah era kini~

by - March 12, 2013


Assalamualaikum wbt…

Dewasa ini, kita sering mengharapkan sesuatu dari orang lain untuk kita. Tapi pernahkah kita terfikir apakah kita pernah memberikan sesuatu untuk orang lain? Kita sering mendambakan yang terbaik dari orang sekeliling kita, tetapi adakah kita pernah bertanya kepada diri apa sumbangan kita untuk orang sekeliling kita? Begitulah hakikatnya apa yang berlaku di dunia persekolahan hari ini. Terlalu banyak perkara yang kita mengharapkan orang lain memberi dan kita hanya menerima. Adakah kehidupan ini sekejam itu?

Dalam alam sekolah hari ini, mungkin kelihatannya guru terlalu mengharapkan dirinya dihormati. Tidaklah semua guru seperti itu, tapi jika sudah ada seorang dua yang sebegitu pastinya imej seorang guru diperkotak-katikkan dunia ini. Ibarat kata kerana nila setitik rosak susu sebelanga kan? Natijahnya, perlu adanya sikap pro dan kontra… memberi dan menerima. Rasa hormat dan dihormati.

Guru dan pelajar adalah saling memerlukan, ibu dan bapa adalah perdukung dan adanya usaha sama dalam mendidik pelajar. Dalam erti kata lain, perlu seiringan usaha guru dan ibu bapa serta pelajar. Jika masing-masing meletakkan diri masing-masing dalam peranan yang betul dan munasabah, tentunya kejayaan mereka hari ini bukan perkara mustahil untuk setiap pelajar. Akan tetapi mengapa guru dan ibu bapa masih wujud perselisihan faham sedangkan matlamatnya adalah sama.

Perlu diakui, setiap guru dan pelajar serta ibu bapa mempunyai sikap dan cara yang berlainan. Apa pun caranya, apa jua gayanya, tujuannya adalah sama iaitu untuk melihat kejayaan anak-anak. Jika seorang ibu bahagia melihat anaknya berjaya, pasti seorang guru itu lebih gembira kerana kejayaan pelajarnya adalah di bawah didikan dan tunjuk ajarnya. Walau bagaimanapun, bukan bermaksud, ibu bapa tiada peranan dalam mendidik anak-anak. Pada dasarnya perlu ada sifat saling mendukung atau mendorong lebih senang difahami, menyokong.

Dalam era globalisasi ini, dunia tanpa sempadan, pelajar terlalu banyak terdedah kepada teknologi. Kebanyakan remaja bergelar pelajar hari ini mudah hanyut dan leka dengan ledakan teknologi dunia kini. Hal ini tidaklah bermakna kita perlu menyalahkan teknologi semata-mata. Akan tetapi perlu juga diambil peduli oleh ibu bapa, guru dan masyarakat sekeliling kawasan. Perlu adanya pemantauan berkala oleh ibu bapa, guru dan masyarakat. Masyarakat yang ambil peduli remaja hari ini adalah masyarakat yang sayang komunitinya dan paling berjaya. InsyaAllah.


Teknologi hari ini sebenarnya sangat mendidik anak-anak untuk berjaya jika betul dan kena pada caranya. Jadi tugas kita sebagai ibu bapa dan guru untuk menunjuk ajar mereka cara yang terbaik untuk mengaplikasikan teknologi yang meluas era ini. Walau bagaimanapun, jika salah caranya maka rosaklah akhlak dan fikiran mereka. Sebagai contoh, pelajar hari ini semakin berani untuk membawa telefon bimbit tanpa tujuan yang munasabah dan kadang-kadang langsung tidak boleh diterima pakai alasannya. Antara alasan yang diberikan adalah untuk menelefon ibu dan bapa jika ada kecemasan sedangkan telefon awam disediakan di sekolah. Antara banyak-banyak alasan yang diberikan, tidak ada satu pun alasan untuk belajar dan mencari ilmu menggunakan internet. Jadi, bagaimana harus dibendung permasalahan ini sekiranya gandingan yang hebat antara guru dan ibu bapa terlalu ampuh. Hal ini terhalang kerana guru dan ibu bapa masing-masing menyalahkan antara satu sama lain.

Alhamdulillah, saranan kerajaan Malaysia untuk memberi peluang kepada pelajar membawa telefon bimbit untuk kegunaan belajar sangat baik. Matlamat pihak kerajaan mungkin baik, tetapi caranya mungkin kurang sesuai untuk pelajar hari ini yang mana menyalahgunakan kemudahan internet dan telefon bimbit yang diberikan. Setakat hari ini sahaja, kebanyakan pihak sekolah terpaksa menanggung risiko pelajar merakam aktiviti tidak bermoral seperti merokok dan seksual. Hal ini memang tidak terbatas di antara lelaki dan perempuan. Masing-masing mahu menunjukkan kehebatan masing-masing.

Kita perlu menimbal kembali apa rasional sesuatu keputusan itu dibuat. Fitrah manusia sememangnya gemar kepada suatu yang baharu meskipun akan merosakkan diri sekiranya tidak digunakan dengan betul. Hal ini boleh sekali diibaratkan seperti member lesen kepada semua orang untuk menggunakan pistol atau senapang. Pistol atau senapang adalah satu benda yang baik sekiranya digunakan dengan cara yang betul, namun kematian akan diundang sekiranya tidak digunakan dengan sewajarnya dan mengikut emosi. Perkara ini sangat berbahaya dan boleh mengundang kepada kecelakaan dan membawa maut. Samalah halnya dengan penggunaan telefon bimbit dengan sewenang-wenangnya di sekolah. Jika salah penggunaannya boleh mengundang kepada kecelakaan akhlak dan membawa padah pada masa depan seseorang pelajar.

Kesimpulannya, seseorang pelajar , ibu, bapa dan guru wajar tahu dan cuba sedaya mungkin untuk memainkan peranan masing-masing. Seorang pelajar berperanan untuk menghormati ibu, bapa dan guru selain belajar mengejar cita. Seorang ibu dan bapa mestilah mencorak kanvas kehidupan anak-anak masing-masing dengan cantik bukan sekadar menconteng kanvas kehidupan mereka yang luhur sebelumnya. Seorang guru pula tidak kurang penting dalam berperanan membentuk akhlak dan masa depan pelajar masing-masing. Sekolah yang cemerlang bermula daripada rasa berperanan oleh pelajar, guru dan ibu bapa kerana semuanya saling mendokong.

Wallahu’alam bisowab.

You May Also Like

0 comments

Selamat Berkomen. Silakan komen yang membina ya!